Rahsia Anak Pintar

28 July 2012

PANDUAN SOP: PUSAKA KECIL


Takrif Harta Pusaka Kecil


Tafsiran yang diberikan dibawah seksyen 3(2) Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian)1955 menerangkan harta pusaka kecil sebagai harta peninggalan simati mengandungi kesemuanya atau sebahagiannya adalah harta tak alih terletak dimana-mana negeri dan jumlah nilai keseluruhannya tidak melebihi RM 2 juta pada tarikh permohonan dibuat (Mulai 1 September 2009). Tanpa terikat kepada batasan nilai yang dinyatakan, sebarang harta simati orang-orang bukan Islam yang mengandungi wasiat dibawah Ordinan Wasiat No. 38 Tahun 1959 bukan lagi ditakrifkan sebagai pusaka kecil. Ia dianggap sebagai pusaka besar dan menjadi tanggungjawab Mahkamah Tinggi. Bagaimanapun peruntukan tersebut tidak boleh dipakai bagi kematian seorang Islam kerana ianya bertentangan dengan syarat dan  peraturan pewasiatan dalam Islam.

Cara Membuat Permohonan Pembahagian Pusaka Kecil
Setiap permohonan untuk pembahagian pusaka kecil hendaklah dibuat dalam borang khas iaitu borang A. Setiap permohonan mestilah disertakan dengan:

1.Bukti Kematian
  • Salinan surat perakuan kematian / permit menguburkan; atau
  • Surat sumpah oleh 2 orang saksi bebas yang menyaksikan jenazah dikebumikan ( bagi kematian semasa pendudukan Jepun / sebelumnya); atau
  • perintah anggapan kematian yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi dalam keadaan seperti kematian tanpa kubur, hilang semasa pendudukan Jepun, Tragedi 13 Mei 1969, tragedi Muassem, dan
  • perintah ini hanya boleh didapati selepas 7 tahun dari tarikh berlakunya kejadian.
2.Salinan Hakmilik
  • Salinan hakmilik yang diakui sah oleh pejabat tanah atau perakuan carian rasmi yang menunjukkan pegangan harta tak alih simati, surat perjanjian jualbeli bagi rumah yang belum ada hakmilik yang berasingan;
3.Salinan Dokumen Harta-Harta Alih:
  • Seperti salinan sijil saham, salinan buku simpanan, salinan penyata kwsp dan sebagainya (jika ada).

Siapakah yang berhak memohon? Di antara mereka yang berhak memohon adalah seperti berikut:
  • Waris-waris simati seperti balu lelaki atau perempuan, anak laki-laki atau perempuan, ibu atau bapa, majlis agama Islam (Baitulmal) dan sebagainya;
  • Pembeli di bawah surat perjanjian jual beli yang sah;
  • Pemegang gadaian atau pemegang pajakan tanah simati;
  • Penghulu atau Pegawai Petempatan yang diarahkan oleh Pentadbir Tanah;
  • Amanah Raya Berhad.

Menghadiri pembicaraan
  • Semua dokumen asal seperti bukti kematian, hakmilik tanah, kad pengenalan, surat beranak, surat nikah, bukti-bukti harta alih dan lain dokumen yang difikirkan perlu hendaklah dibawa semasa pembicaraan
  • Semua pihak yang diminta hadir adalah dikehendaki hadir di hari pembicaraan.
  • Semua keterangan semasa pembicaraan hendaklah diberi secara bersumpah atau berikrar.

Sumber: Portal Rasmi JKPTG. 
[http://www.kptg.gov.my/ms/policy-laws/sop-guidlines/small-estate.html]

21 May 2012

Senario Antara Hibah Dan Wasiat

PENGERTIAN HIBAH
Hibah ialah pemberian atau hadiah yang diberi oleh pemilik harta kepada seseorang semasa hayatnya secara percuma.


ASAS HIBAH
- Seseorang itu boleh menghibahkan / menghadiahkan seberapa banyak harta miliknya kepada sesiapa
sahaja yang boleh menerimanya semasa hayatnya.

- Harta yang sudah dihibah akan terus menjadi milik penuh penerima hibah berkuat kuasa serta merta.

- Maka itu pemberi hibah sudah tidak mempunyai apa-apa hak lagi ke atas harta tersebut.

- Dengan itu sekiranya berlaku kematian kepada pemberi hibah, harta yang telah dihibahkan tidak akan menjadi harta pusaka pemberi hibah lagi.

- Dan sekiranya penerima hibah pula meninggal dunia sebaik sahaja menerima hibah maka harta hibah yang diterimanya itu akan termasuk dalam harta pusakanya

- Harta yang telah dihibah tidak boleh ditarik balik.


SYARAT HIBAH
1) Pemberi hibah
2) Barang yang dihibah
3) Penerima hibah
4) Akad hibah


ANTARA HIBAH DAN WASIAT
- Hibah adalah pemberian yang dilaksanakan semasa hayat seseorang pemilik harta. Oleh itu jumlah harta yang boleh dihibah adalah mengikut kehendak pemberi hibah, tiada had minimum atau had maksimum.

- Wasiat adalah pesanan yang dibuat semasa hidup manakala pemberiannya akan dilaksanakan selepas kematian pemilik harta tersebut. Nilai had maksimum harta yang boleh diwasiatkan ialah 1/3 daripada keseluruhan harta dan harta itu diwasiatkan untuk bukan waris sahaja.
Manakala baki 2/3 daripada harta itu pula bolehlah diwasiatkan kepada para waris mengikut nilaian faraid
atau persetujuan bersama antara para waris sewaktu pelaksanaan wasiat kelak.

- Kebanyakkan orang ingin membuat wasiat kepada ahli warisnya dan nilai harta yang diwasiatkan pula adalah mengikut kehendaknya. Namun nilai pembahagian harta tersebut tidaklah semestinya diikuti oleh waris-warisnya selepas kematiannya kerana para waris masih boleh berbincang semula sama ada ingin mengikut nilaian lain yang dipersetujui bersama atau mengikut nilaian faraid.

- Ada orang yang keliru dengan kaedah membuat wasiat ini kerana apa yang difahami mereka ialah wasiat hanyalah untuk kepada bukan waris dan nilainya tidak melebihi 1/3 sahaja. Oleh itu mereka membuatsurat hibah bagi menyatakan pemberian harta mereka kepada waris mereka dengan nilaian yang merekatetapkan. Namun mereka lupa bahawa perlaksanaan hibah itu adalah serta merta.

- Sebagai contoh, jika kita membuat surah hibah menyatakan pemberian rumah kita kepada anak perempuan dan anak lelaki tidak dinyatakan apa-apa pemberian maka secara dasarnya surat hibah itu sah kerana pemberian itu sah dan ia berkuatkuasa serta merta. Hanya proses tukar nama rumah sahaja yang belum dilaksanakan. Dengan itu anak perempuan sudah sah memiliki rumah tersebut dan boleh membuat apa sahaja ke atas rumah tersebut. Dan sekiranya berlaku kematian kepada anak perempuan itu sebaik selepas surat hibah itu sah maka rumah itu termasuk dalam kiraan harta pusaka anak perempuan itu walaupun rumah itu masih atas nama kita akibat tidak sempat proses tukar nama.

- Jika seorang suami membuat surat hibah kepada isterinya menyatakan beliau menghibahkan wang KWSP nya kepada isterinya maka perlulah diingat bahawa sekiranya si suami sudah pencen dan boleh mengeluarkan wang KWSP tersebut, si suami tidak boleh mengambil wang KWSP itu kerana ia sudah menjadi hak isteri kerana telah ada surat hibah. Dan sekiranya si isteri pula meniggal dunia sebaik surathibah itu sah sedangkan si suami masih hidup maka sudah tentulah wang KWSP suami itu akan termasuk dalam harta pusaka si isteri.

- Untuk memudahkan perlaksanaan pengurusan harta fahamilah konsep wasiat dan hibah yang asal. Jika kita hendakkan pemberian itu terlaksana ketika hidup, maka buatlah hibah. Jika kita berhasrat hendakkan pemberian kita itu terlaksana selepas kematian kita, maka buatlah wasiat.

- Dalam dokumen wasiat kita bukan sahaja boleh mewasiatkan 1/3 daripada harta kita kepada bukan waris malahan kita boleh meninggalkan pesanan-pesanan lain seperti pesanan takwa, nasihat kebaikan dan juga pesanan bagaimana cara untuk mengagihkan harta yang kita tinggalkan kepada waris-waris sama ada mengikut nilaian faraid ataupun nilaian hasrat kita.

- Dan jika kita hendak memberi harta yang lebih kepada waris kita tanpa terikat dengan nilai faraid maka gunakanlah instrumen Pri-Hibah.

- Pri-Hibah adalah pemberian hibah yang menggunakan konsep amanah di dalmnya. Dengan Pri-Hibah seseorang yang menghibahkan hartanya masih boleh mendapat manfaat daripada harta yang telah dihibahkan selagi hidupnya dan proses tukar milik hanya akan berlaku selepas kematiannya sahaja.

18 October 2011

Mudahnya Faraid-3 (Pengagihan Faraid)

Faraid adalah undang-undang pembahagian pusaka dalam Islam. "FARAID"...bunyi yang sangat sinonim tetapi ramai yang tidak mengetahui akan fungsi dan aplikasinya dalam kehidupan dan kesesuaian undang-undang negara. Lama juga merenung siling, melihat lantai, mencari-cari kiri dan kanan apa-apa objek yang boleh dikaitkan dengan perkataan Faraid, agar timbul kembali segala maklumat yang berkaitan dengan Faraid. Untuk kefahaman tentang Faraid:

1) Definisi
    Faraid adalah undang-undang pembahagian pusaka Islam

2) Fungsi Faraid
    Fungsi faraid ialah untuk memindah milik secara halal harta yang dimiliki oleh orang yang telah meninggal dunia kepada orang yang masih hidup agar harta tersebut dapat dimanfaatkan untuk kehidupan. Kerana harta di dunia ini adalah untuk kegunaan orang yang masih hidup. Manakala orang yang telah mati hanya memerlukan pahala amalan yang diperoleh daripada harta itu.

3) Aplikasi Faraid
    Kebiasaannya Faraid akan dipraktikkan apabila ada peristiwa kematian. Bagi orang biasa yang pernah belajar tentang ilmu faraid, kemungkinan besar ilmu faraid ini akan diaplikasikan setelah 30 tahun atau 40 tahun dari semenjak dia mempelajarinya iaitu apabila berlaku peristiwa kematian ayah atau ibu mereka. Bagi orang yang tidak pernah mempelajari ilmu faraid pula, kemungkinan besar tidak akan mengaplikasikannya. Sekadar tahu faraid itu ada untuk pembahagian pusaka.

Secara dasarnya ilmu faraid ini mudah. Namun ia boleh menjadi kompleks apabila melibatkan undang-undang setempat atau budaya setempat atau kes-kes kematian setempat yang kompleks.

Apa yang ada dalam Faraid adalah pernyataan  tentang bahagian-bahagian waris yang berhak daripada harta pusaka simati. Secara asasnya nilai bahagian-bahagian tersebut adalah seperti berikut.

  1. Bapa:                    1/6 daripada nilai harta si mati
  2. Ibu:                       1/6 daripada nilai harta si mati
  3. Isteri:                     1/8 dariapada nilai harta si mati
  4. Suami:                   1/4 daripada nilai harta si mati
  5. Anak Lelaki:          2/3 daripada baki harta setelah ditolak hak-hak faraid Bapa, Ibu, Suami / Isteri.
  6. Anak Perempuan:  1/3 daripada baki harta setelah ditolak hak-hak faraid Bapa, Ibu, Suami / Isteri.

Nilai bahagian faraid ini boleh berubah apabila komposisi waris faraid berubah.

A) Untuk komposisi waris simati yang sudah berkeluarga :
     1) Bapa si mati:         1/6
     2) Ibu si mati:            1/6
     3) Isteri:                    1/8  atau  Suami: 1/4.  (Mana-mana yang masih hidup)
     4) Anak Lelak:          2/3 daripada baki harta setelah ditolak hak-hak faraid Bapa, Ibu, Suami / Isteri.
     5) Anak Perempuan: 1/3 daripada baki harta setelah ditolak hak-hak faraid Bapa, Ibu, Suami / Isteri.

B) Untuk komposisi waris simati yang belum berkeluarga (bujang):
     1) Ibu:    1/6
     2) Bapa: 5/6 (bapa dapat keseluruhan baki harta setelah ditolak hak faraid Ibu)

C) Untuk komposisi waris simati yang dah berkeluarga tapi tiada anak
     1) Suami: 1/2 atau isteri: 1/4  (Mana-mana yang masih hidup)
     2) Ibu:      1/6
     3) Bapa:   mendapat semua baki harta

D) Untuk komposisi waris simati yang dah berkeluarga tapi tiada ibu dan bapa.
      1) Suami:                   1/4 atau isteri: 1/8  (Mana-mana yang masih hidup)
      2) Anak Lelaki:          2/3 daripada baki harta setelah ditolak hak-hak faraid Suami atau Isteri.
      3) Anak Perempuan:  1/3 daripada baki harta setelah ditolak hak-hak faraid Suami atau Isteri.

E) Untuk komposisi waris simati yang masih bujang tapi tiada ibu dan bapa
     1) Adik-beradik Lelaki:          2/3 daripada harta.
     2) Adik-beradik Perempuan:  1/3 daripada harta.

Perlu diingat kepada semua waris yang bakal menerima bahagian pusaka iaitu sebelum harta pusaka itu diagih mengikut nilai bahagian faraid yang telah ditentukan maka perlu dipastikan bahawa harta pusaka itu telah bersih daripada segala hutang (hutang dengan Allah dan hutang dunia), bersih daripada harta amanah yang dipegang si mati dan bersih daripada tuntutan wasiat.

Sekali pandang kita nampak waris-waris faraid sangat bertuah kerana mendapat harta dengan mudah tanpa perlu memerah keringat. Kerana itulah waris-waris faraid sepatutnya berasa lebih bersyukur dengan penerimaan harta ini dan bukannya ditangani dengan pertelingkahan atau pemboikotan. Pertelingkahan di sini bermaksud waris-waris bertelingkah untuk mendapatkan bahagian yang lebih manakala pemboikotan pula bermaksud waris-waris buat tak endah atau buat tak tahu dengan harta pusaka tersebut sama ada kerana mereka sudah mempunyai harta sendiri atau kerana hendak mengelakkan berlakunya pertelingkahan. Walau apa pun jua tanggapan waris terhadap hak-hak faraid ini, para waris sepatutnya menerima ketentuan ini dengan redho kerana sebenarnya ia merupakan pemberian daripada Allah s.w.t. Jika kita menolak pemberian orang pun kita sudah dianggap sombong, inikan pula menolak pemberian dari Yang Maha Kaya.