Rahsia Anak Pintar

04 July 2011

Mudahnya Faraid-1

Faraid adalah undang-undang pembahagian harta pusaka Islam. Pembahagian harta pusaka mengikut hukum faraid akan dilaksanakan apabila waris-waris yang sah tidak mendapat kata sepakat dalam cara pembahagian harta pusaka.

Ramai orang tahu
bahawa sekiranya berlaku kematian maka harta pusaka tersebut akan terus difaraidkan. Malangnya setakat tahu sahaja tetapi tidak memahami bagaimana proses faraid itu berjalan sudah tentu tidak akan menyelesaikan pembahagian pusaka tersebut. Adakah sekadar tahu "aku juga ada bahagian" dalam harta pusaka tersebut akan menyelesaikan masalah pusaka?

Faraid
hanya menetapkan nilai harta yang patut diterima oleh waris-waris. Namun bagaimana harta itu patut diagihkan atau dalam bentuk apa harta itu patut diagihkan tidaklah ditentukan.

Dalam proses pengurusan harta pusaka, ada dua perkara penting yang perlu dilakukan, iaitu:

1) Proses mengenal pasti waris-waris yang berhak.
2) Proses pengagihan harta kepada waris-waris yang berhak.

Proses di atas perlu dilakukan menurut urutan. Waris-waris yang berhak perlu dikenal pasti terlebih dahulu sebelum pengagihan harta dijalankan. Sekiranya harta diagihkan tanpa mengenal pasti waris-waris yang berhak terlebih dahulu, maka ditakuti penerima harta tersebut telah menerima harta secara batil. Menerima harta secara batil boleh menyebabkan terjadinya perkara yang tidak diingini iaitu memakan harta haram. Banyak implikasi tidak elok akan wujud kepada diri, ahli keluarga dan juga masyarakat akibat memakan harta haram. Salah satu daripadanya adalah doa yang tidak diterima.