Rahsia Anak Pintar

18 October 2011

Mudahnya Faraid-3 (Pengagihan Faraid)

Faraid adalah undang-undang pembahagian pusaka dalam Islam. "FARAID"...bunyi yang sangat sinonim tetapi ramai yang tidak mengetahui akan fungsi dan aplikasinya dalam kehidupan dan kesesuaian undang-undang negara. Lama juga merenung siling, melihat lantai, mencari-cari kiri dan kanan apa-apa objek yang boleh dikaitkan dengan perkataan Faraid, agar timbul kembali segala maklumat yang berkaitan dengan Faraid. Untuk kefahaman tentang Faraid:

1) Definisi
    Faraid adalah undang-undang pembahagian pusaka Islam

2) Fungsi Faraid
    Fungsi faraid ialah untuk memindah milik secara halal harta yang dimiliki oleh orang yang telah meninggal dunia kepada orang yang masih hidup agar harta tersebut dapat dimanfaatkan untuk kehidupan. Kerana harta di dunia ini adalah untuk kegunaan orang yang masih hidup. Manakala orang yang telah mati hanya memerlukan pahala amalan yang diperoleh daripada harta itu.

3) Aplikasi Faraid
    Kebiasaannya Faraid akan dipraktikkan apabila ada peristiwa kematian. Bagi orang biasa yang pernah belajar tentang ilmu faraid, kemungkinan besar ilmu faraid ini akan diaplikasikan setelah 30 tahun atau 40 tahun dari semenjak dia mempelajarinya iaitu apabila berlaku peristiwa kematian ayah atau ibu mereka. Bagi orang yang tidak pernah mempelajari ilmu faraid pula, kemungkinan besar tidak akan mengaplikasikannya. Sekadar tahu faraid itu ada untuk pembahagian pusaka.

Secara dasarnya ilmu faraid ini mudah. Namun ia boleh menjadi kompleks apabila melibatkan undang-undang setempat atau budaya setempat atau kes-kes kematian setempat yang kompleks.

Apa yang ada dalam Faraid adalah pernyataan  tentang bahagian-bahagian waris yang berhak daripada harta pusaka simati. Secara asasnya nilai bahagian-bahagian tersebut adalah seperti berikut.

  1. Bapa:                    1/6 daripada nilai harta si mati
  2. Ibu:                       1/6 daripada nilai harta si mati
  3. Isteri:                     1/8 dariapada nilai harta si mati
  4. Suami:                   1/4 daripada nilai harta si mati
  5. Anak Lelaki:          2/3 daripada baki harta setelah ditolak hak-hak faraid Bapa, Ibu, Suami / Isteri.
  6. Anak Perempuan:  1/3 daripada baki harta setelah ditolak hak-hak faraid Bapa, Ibu, Suami / Isteri.

Nilai bahagian faraid ini boleh berubah apabila komposisi waris faraid berubah.

A) Untuk komposisi waris simati yang sudah berkeluarga :
     1) Bapa si mati:         1/6
     2) Ibu si mati:            1/6
     3) Isteri:                    1/8  atau  Suami: 1/4.  (Mana-mana yang masih hidup)
     4) Anak Lelak:          2/3 daripada baki harta setelah ditolak hak-hak faraid Bapa, Ibu, Suami / Isteri.
     5) Anak Perempuan: 1/3 daripada baki harta setelah ditolak hak-hak faraid Bapa, Ibu, Suami / Isteri.

B) Untuk komposisi waris simati yang belum berkeluarga (bujang):
     1) Ibu:    1/6
     2) Bapa: 5/6 (bapa dapat keseluruhan baki harta setelah ditolak hak faraid Ibu)

C) Untuk komposisi waris simati yang dah berkeluarga tapi tiada anak
     1) Suami: 1/2 atau isteri: 1/4  (Mana-mana yang masih hidup)
     2) Ibu:      1/6
     3) Bapa:   mendapat semua baki harta

D) Untuk komposisi waris simati yang dah berkeluarga tapi tiada ibu dan bapa.
      1) Suami:                   1/4 atau isteri: 1/8  (Mana-mana yang masih hidup)
      2) Anak Lelaki:          2/3 daripada baki harta setelah ditolak hak-hak faraid Suami atau Isteri.
      3) Anak Perempuan:  1/3 daripada baki harta setelah ditolak hak-hak faraid Suami atau Isteri.

E) Untuk komposisi waris simati yang masih bujang tapi tiada ibu dan bapa
     1) Adik-beradik Lelaki:          2/3 daripada harta.
     2) Adik-beradik Perempuan:  1/3 daripada harta.

Perlu diingat kepada semua waris yang bakal menerima bahagian pusaka iaitu sebelum harta pusaka itu diagih mengikut nilai bahagian faraid yang telah ditentukan maka perlu dipastikan bahawa harta pusaka itu telah bersih daripada segala hutang (hutang dengan Allah dan hutang dunia), bersih daripada harta amanah yang dipegang si mati dan bersih daripada tuntutan wasiat.

Sekali pandang kita nampak waris-waris faraid sangat bertuah kerana mendapat harta dengan mudah tanpa perlu memerah keringat. Kerana itulah waris-waris faraid sepatutnya berasa lebih bersyukur dengan penerimaan harta ini dan bukannya ditangani dengan pertelingkahan atau pemboikotan. Pertelingkahan di sini bermaksud waris-waris bertelingkah untuk mendapatkan bahagian yang lebih manakala pemboikotan pula bermaksud waris-waris buat tak endah atau buat tak tahu dengan harta pusaka tersebut sama ada kerana mereka sudah mempunyai harta sendiri atau kerana hendak mengelakkan berlakunya pertelingkahan. Walau apa pun jua tanggapan waris terhadap hak-hak faraid ini, para waris sepatutnya menerima ketentuan ini dengan redho kerana sebenarnya ia merupakan pemberian daripada Allah s.w.t. Jika kita menolak pemberian orang pun kita sudah dianggap sombong, inikan pula menolak pemberian dari Yang Maha Kaya.



11 October 2011

Proses Tuntutan Pusaka

PERBEZAAN PROSES TUNTUTAN PUSAKA TANPA WASIAT DAN BERWASIAT

09 October 2011

Mudahnya Faraid - 2 (Mengenal Pasti Waris-Waris)

Mengenal pasti waris-waris yang berhak bukanlah sesuatu yang sukar. Kebiasaan yang terfikir oleh kita tentang waris-waris yang terdekat ialah isteri / suami, anak-anak dan ibu-bapa. Secara mudahnya ada lima orang waris utama yang berhak ke atas harta peninggalan kita. Untuk memudahkan lagi proses mengenal pasti waris di sini diterangkan beberapa situasi.

A) Bagi orang yang sudah berkeluarga, 5 orang waris utamanya ialah:
  1. Suami / Isteri
  2. Anak Lelaki
  3. Anak Perempuan
  4. Ibu
  5. Bapa

B) Bagi orang yang masih bujang, 2 orang waris utamanya ialah:
  1. Ibu
  2. Bapa

C) Bagi orang yang sudah berkeluarga tetapi tidak mempunyai anak, 3 orang waris utamanya ialah:
  1. Suami / Isteri
  2. Ibu
  3. Bapa

D) Bagi orang yang sudah berkeluarga tetapi sudah tidak mempunyai ibu-bapa, 3 orang waris utamanya ialah:
  1. Suami / Isteri
  2. Anak lelaki
  3. Anak perempuan

E) Bagi orang yang masih bujang tetapi sudah tidak mempunyai ibu-bapa, 2 orang waris utamanya ialah:
  1. Adik beradik lelaki.
  2. Adik beradik perempuan.
Dengan mengetahui waris yang betul-betul berhak akan dapat memudahkan proses tuntutan pusaka di mahkamah, memudahkan proses pembahagian faraid dan dapat mengelakkan pertelingkahan antara ahli keluarga.

Masalah rumit yang biasa terjadi dalam proses tuntutan pusaka ialah pertelingkahan dalam keluarga kerana ada waris-waris yang tidak berhak cuba menuntut harta simati. Namun ada juga masalah yang tidak rumit tetapi proses tuntutan pusaka tetap juga tidak dijalankan kerana ada waris-waris yang berhak buat tidak endah dengan harta simati.

Perlu difahamkan bahawa tanpa persetujuan dari semua waris yang berhak proses tuntutan pusaka tidak akan dapat dijalankan.

Kita biasanya menganggap proses pembahagian pusaka ini adalah suatu proses untuk waris-waris mendapatkan bahagian faraid dalam harta simati. Lantas apabila ada di antara waris yang merasa tidak berkehendakkan kepada harta simati, mereka membiarkan sahaja perkara tersebut atau buat tidak tahu sahaja tentang pembahagian pusaka simati.

Kita perlu sedar dan faham bahawa perkara utama kenapa tuntutan pusaka ini dibuat adalah untuk melepaskan ikatan yang masih ada antara simati dengan perkara-perkara keduniaan seperti hutang, harta dan amanah. Rumah yang ditinggalkan masih ada cukai yang perlu dibayar setiap tahun. Cukai ini menjadi hutang kepada simati. Tanah yang ditinggalkan walaupun sekangkang kera tetap ada cukai setiap tahun. Hutang-hutang ini jika tidak diselesaikan akan menyebabkan amalan simati tergantung manakala amanah yang masih tidak diselesaikan akan dituntut diakhirat kelak.

Maka itulah kenapa perkara pertama yang dituntut dalam Islam apabila berlaku kematian adalah menyelesaikan pembahagian pusaka tidak kira hartanya banyak atau sedikit dan bukannya membuat kenduri arwah.Setelah dibersihkan harta simati dari ikatan-ikatan keduniaan ini barulah baki daripada harta simati itu di bahagikan mengikut hukum faraid.