Diriwayatkan Talha bin Musharrif "Saya
bertanya Abdulah bin Abu Aufa, adakah Rasulullah S.A.W membuat Wasiat?
Dia menjawab tidak, saya bertanya beliau bagaimanakah umat Islam
difardukan supaya berwasiat (atau diperintahkan supaya berwasiat? Ia
menjawab: Raslullah berwasiat dengan kitab Allah (al-Quran)".
Dipetik daripada Sahih Al Bukhari (jilid IV m/s 1).
.
Hukum
menulis wasiat ke atas orang Islam adalah sunnat kerana terdapat hadis
yag menyuruhnya serta perbuatan sahabat-sahabat besar yang hampir
keseluruhanya meninggalkan wasiat. Ibn Umar meriwayatkan Rasullulah
s.a.w bersabda bermaksud: “Tidak wajar kepada seseorang Islam apabila
terdapat sesuatu yang hendak ia wasiatkan maka ia tidur dari dua malam
melainksn wasiatnya itu tertulis disisinya. (Riwayat Muttafaq Alaih).
Hadis riwayat Jabir menerangkan kelebihan orang berwasiat di mana Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa
yang mati meninggalkan wasiat maka ia mati atas jalan Islam, mati dalam
keadaan mengikuti sunnah, mati dalam ketaqwaan, mati dalam syahadah,
dan matinya diampuni”. (Riwayat Ibn Majah).
.
Sebagaimana
dinyatakan, kebanyakkan para sahabat Rasulullah s.a.w telah pun
berwasiat. Al Qurtubi menceritakan di dalam tafsirnya bahawa saidina Abu
Bakar dan Saidina Ali mewasiatkan satu perlima dari hartanya, saidina
Umar mewasiatkan satu perempat, manakala Sa’ad ibn Waqas mewasiatkan
satu pertiga. Manakala Saidatina Aisyah pula mewasiat barangan rumahnya
kepada bekas-bekas hambanya. Ibn Umar pula mewasiatkan kepada
bekas-bekas isterinya setiap seorang 4,000 dirham. Contoh-contoh ini
menunjukkan para sahabat faham berwasiat adalah satu kewajiban agama
yang dituntut walaupun ia bukan sesuatu yang difardukan (diwajibkan).
Kadar harta yang boleh diwasiatkan adalah setakat satu pertiga kepada bukan waris.
Namun
Islam membenarkan berwasiat lebih daripada satu pertiga atau berwasiat
kepada waris dengan syarat mestilah mendapatkan persetujuaan waris-waris
lain selepas kematian pewasiat. Terdapat pengecualian di Selangor,
menurut Seksyen Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999 yang membenarkan berwasiat satu pertiga kepada waris tanpa perlu persetujuan waris lain.
Faraid
menjaga hak waris manakala wasiat pula memberi hak dan ruang kepada
pemilik harta untuk pemberian kepada bukan waris seperti kepada anak
angkat, ibu bapa angkat, ahli keluarga bukan Islam, cucu atau ahli
keluarga yang tidak mendapat bahagian dalam Faraid ataupun untuk apa-apa
tujuan kebajikan.