Rahsia Anak Pintar

11 January 2009

Soal Jawab Perancangan Harta Pusaka Islam

  1. Saya difahamkan bahawa undang-undang pewarisan Islam iaitu Faraid telah menetapkan bahagian-bahagian yang patut diperoleh oleh waris-waris simati. Kenapa saya perlu membazirkan masa dan wang untuk menulis Wasiat?
    Pembahagian Faraid adalah untuk waris-waris, sedangkan Wasiat membenarkan pembahagian 1/3 daripada harta pusaka kepada bukan waris yang memerlukan. Wasiat memberi peluang kepada orang Islam untuk terus mendapat pahala selepas meninggal dunia kerana mewasiatkan hartanya untuk tujuan kebajikan atau agama Islam.

  2. Adakah Islam mengalakkan menulis W asiat?
    Islam menggalakkan menulis Wasiat. Diriwayatkan oleh Abdullah Bin Umar R.A “Bukanlah seorang Muslim yang sebenar yang mempunyai harta untuk diwasiatkan untuk tidur dua malam kecuali wasiatnya sudah tertulis dan disimpan di bawah kepalanya.” (Petikan dari Sahih Al-Bukhari: vol IV p.1)

  3. Islam menggalakkan menulis Wasiat, adalah lebih mudah untuk saya meniru contoh yang telah sedia ada, contohnya di bawah Enakmen Wasiat Selangor 1999.
    Contoh Wasiat yang disediakan adalah Wasiat yang biasa sahaja, sedangkan as-Salihin menyediakan Wasiat yang lengkap dan dibuat berdasarkan keperluan, keadaan dan lain-lain perkhidmatan yang diperlukan oleh benefisiari yang masih hidup bagi mengelakkan sebarang konflik dan ketidak tentuan berlaku selepas kematian pewasiat.

  4. Saya masih bujang dan tidak mempunyai waris yang rapat. Kenapa saya perlu menulis Wasiat?
    Jika anda tidak menulis Wasiat dan anda tidak mempunyai waris yang boleh mewarisi, kesemua harta akan diberi kepada Baitul Mal. Anda boleh memberi harta anda kepada orang-orang tertentu melalui Wasiat sebanyak 1/3 daripada keseluruhan harta dan baki harta akan diserahkan kepada Baitul Mal. Dengan ini kedua-dua pihak akan mendapat bahagian.

  5. Tanggungan saya adalah lebih banyak daripada harta saya. Bolehkah saya menulis Wasiat?
    Anda boleh menulis Wasiat. Akan tetapi tanggungan anda akan diselesaikan terlebih dahulu sebelum pembahagian ke atas baki harta boleh dibuat kepada benefisiari.

  6. Saya mempunyai anak-anak yang masih kecil dan saya telah mengasingkan beberapa harta untuk kepentingan mereka? Bolehkah as-Salihin bertindak sebagai penjaga bagi harta anak-anak saya?
    Boleh, sekiranya as-Salihin dilantik sebagai Penjaga bagi harta anak-anak anda.

  7. Bolehkah saya melantik as-Salihin sebagai penjaga yang sah bagi anak-anak saya?
    Anda boleh melantik as-Salihin sebagai penjaga yang sah, tetapi bagi harta anak-anak anda dan bukannya penjaga bagi diri kanak-kanak tersebut. Penjaga bagi diri mestilah dilantik mengikut peruntukan undang-undang.

  8. Bolehkah as-Salihin bertindak sebagai Penjaga kepada anak-anak yang masih kecil?
    as-Salihin tidak boleh menjadi hadinah. Hak hadanah ke atas anak-anak yang masih kecil diberi keutamaan kepada saudara-saudara perempuan terdekat.
  9. Saya telah menganut agama Islam dan ibubapa masih beragama Buddha. Saya faham bahawa ibubapa saya mempunyai bahagian yang telah ditetapkan apabila saya meninggal dunia. Adakah begitu?
    Hanya orang Islam boleh mewarisi daripada orang Islam. Oleh kerana ibubapa anda bukan Islam mereka tidak boleh mewarisi daripada anda.

  10. Bolehkah saya berwasiat kepada ibubapa dan saudara yang bukan beragama Islam?
    Boleh.

  11. Bolehkah saya menerima pemberian melalui Wasiat daripada saudara atau kawan bukan Islam?
    Boleh.

  12. Bolehkah saya mewarisi daripada saudara bukan Islam (jika tiada Wasiat)?
    Tidak.

  13. Saya adalah seorang anak angkat. Bolehkah saya mewarisi daripada ibubapa angkat saya?
    Tidak.

  14. Bolehkah saya menerima Wasiat ibubapa angkat saya?
    Boleh.

  15. Saya adalah anak luar nikah. Bolehkah saya mewarisi daripada ibubapa sebenar saya (yang tidak berkahwin)?
    Anda hanya boleh mewarisi daripada ibu sahaja.

  16. Sebagai ibubapa yang bersekedudukan, bolehkan mereka mewarisi harta saya?
    Hanya ibu sahaja (dan bukan bapa) boleh mewarisi harta anda.

  17. Saya telah menceraikan isteri saya. Bolehkah bekas isteri saya menuntut hak terhadap harta saya apabila saya mati?
    Bekas isteri anda tidak boleh menuntut harta pusaka anda kerana apabila telah bercerai bekas isteri bukanlah dianggap sebagai waris yang layak lagi. Tetapi bagi isteri yang diceraikan, apabila suami telah menceraikan isteri dan suami mati ketika di dalam masa iddah, isteri masih dianggap sebagai waris yang layak dan boleh mewarisi harta anda.

  18. Di dalam Islam, adakah saya bebas untuk mewasiatkan semua harta saya?
    Menurut Undang-undang Islam, seorang Islam mempunyai kebebasan untuk mewasiatkan hanya 1/3 daripada keseluruhan hartanya.

  19. Berapa banyak saya boleh berwasiat kepada ahli-ahli keluarga terdekat?
    Menurut Mazhab Shafie, seorang Islam tidak boleh mewasiatkan hartanya kepada waris kecuali semua waris memberi persetujuan selepas kematian pewasiat. Di dalam kes anda, anda boleh mewasiatkan lebih daripada 1/3 kepada keluarga terdekat tetapi pembahagian harta tersebut tertakluk kepada persetujuan semua waris yang masih hidup.
    Tetapi di bawah undang-undang Selangor, Seksyen 26(2) Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999, orang Islam dibolehkan berwasiat sebanyak satu pertiga daripada keseluruhan aset kepada waris-warisnya walaupun tanpa persetujuaan waris-waris yang lain.



  20. Siapakah di antara saudara saya yang tidak boleh terkecuali daripada mewarisi harta saya?
    Dengan syarat mereka adalah orang Islam, bapa anda (ke atas), suami/isteri anda dan anak-anak anda tidak terkecuali daripada mewarisi harta anda.

  21. Berapa banyak saya boleh berwasiat kepada rakan-rakan saya?
    Anda boleh berwasiat hanya 1/3 daripada semua harta anda kepada rakan anda. Jika anda mewasiatkan lebih daripada 1/3, Wasiat yang melebihi daripada 1/3 tidak sah kecuali mendapat persetujuan semua waris selepas kematian pewasiat.

  22. Saya mempunyai sebidang Tanah Rizab Melayu dan ia melebihi 1/3 daripada semua harta saya. Bolehkah saya mewasiatkan tanah tersebut kepada rakan saya, Ali Chong Abdullah, seorang mualaf?
    Anda harus memahami bahawa dengan memeluk Islam rakan anda itu tetap berbangsa cina dan dia tidak boleh menjadi orang Melayu. Tanah Rizab Melayu hanya boleh dimiliki oleh orang Melayu, adalah dinasihati agar anda tidak mewasiatkan tanah tersebut kepada rakan anda yang berbangsa cina.

  23. Apakah benda yang tidak boleh saya Wasiatkan?
    Benda yang dianggap haram menurut Islam seperti alcohol dan khinzir tidak boleh menjadi harta yang diwasiatkan. Pemberian kepada tempat-tempat peribadatan agama selain Islam tidak boleh melalui Wasiat. Tidak dibenarkan juga seseorang mewasiatkan senjata dan patung-patung sembahyang kepada orang bukan Islam.





  24. Saya telah membuat Wasiat ketika saya bujang, jika saya tidak membuat Wasiat yang baru selepas berkahwin, masih sahkah Wasiat tersebut?
    Di dalam Islam, Wasiat tidak terbatal melalui perkahwinan atau perceraian. Wasiat yang anda buat sebelum berkahwin kekal sah kecuali anda membatalkannya dengan membuat Wasiat baru.

  25. Saya telah menamakan isteri saya sebagai penama di dalam borang EPF. Bolehkah isteri saya mendapat kesemua wang daripada akaun EPF saya apabila saya meninggal kelak?
    Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, penama bagi skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Wang Simpanan Pejabat Pos, Wang Simpanan di bank dan Simpanan Kesatuan Kerjasama adalah merupakan orang yang melaksanakan Wasiat simati iaitu sebagai pemegang amanah. Penama tersebut tidak boleh mewarisi kesemua harta tersebut tetapi dia mestilah membahagikan harta tersebut mengikut Faraid.

  26. Saya belum berkahwin ketika membeli polisi insurans dan saya menamakan kakak saya sebagai benefisiari. Oleh kerana saya telah berkahwin adakah kakak saya boleh mewarisi polisi insurans saya apabila saya meninggal dunia?
    Di dalam Islam, harta simati hanya boleh diwarisi selepas kematiannya dan dibahagikan mengikut Faraid. Kedudukan kakak anda hanyalah sebagai pemegang amanah (dan bukan sebagai benefisiari) dan beliau berkewajipan untuk membahagikan harta tersebut kepada waris-waris yang layak menurut Faraid (sila lihat soalan 25).



  27. Adakah seorang individu itu menjadi tidak layak untuk dilantik sebagai wasi bagi Wasiat saya kerana dia juga merupakan benefisiari di dalam Wasiat saya?
    Individu tersebut layak untuk menjadi wasi.

  28. Jika saya boleh melantik mana-mana individu untuk menjadi wasi Wasiat saya. Kenapa perlu saya melantik as-Salihin?
    Adalah lebih baik melantik as-Salihin sebagai wasi. Jika anda fikirkan bahawa orang kesayangan anda mungkin tidak mampu berfungsi dan bertugas sebagai wasi, anda wajar melantik as-Salihin sebaga wasi utama atau wasi ganti. Kelebihan melantik as-Salihin sebagai Wasi anda adalah seperti berikut:

    (a) Warisan kekal dan berterusan
    Sebagai sebuah syarikat, as-Salihin bersama kakitangan yang arif dalam bidang undang-undang akan sentiasa memastikan kesinambungan dalam proses pentadbiran hingga pembahagian harta yang terakhir.

    (b) Bertanggungjawab dan Adil
    Tidak seperti pemegang amanah individu, as-Salihin adalah badan pengawal di bawah obligasi undang-undang untuk memastikan wang sentiasa dijaga. Selain itu, sebagai badan korporat, as-Salihin bebas dan adil kepada semua benefisiari berbanding Wasi atau pemegang amanah individu yang mungkin mempunyai hubungan atau terikat dengan emosi.

    ( c) Profesional dan berkemampuan
    Dengan melantik as-Salihin, anda akan dijamin dengan profesional dan berkemampuan dalam menjalankan keseluruhan pentadbiran pada kos yang berpatutan.

    (d) Mempercepatkan proses undang-undang
    (i) Dengan Wasiat dan melantik as-Salihin sebagai Wasi, tidak akan berlaku pertelingkahan untuk memilih siapa yang wajar mentadbir harta pusaka. Hanya wasi yang dilantik di dalam Wasiat mempunyai hak mentadbir.
    (ii) Tidak perlukan jaminan untuk memperolehi probet. as-Salihin sebagai Wasi tidak perlu mencari penjamin ketika memohon probet.


  29. Bolehkah saya mengubah kandungan Wasiat saya dan bilakah boleh saya berbuat demikian?
    Anda boleh mengubah Wasiat anda pada bila-bila masa yang anda mahu. Islam membenarkan pewasiat membatalkan Wasiatnya ketika masih hidup.

  30. Bolehkah saya membuat wakaf di dalam Wasiat saya?
    Menurut undang-undang Islam, seseorang boleh membuat wakaf di dalam Wasiatnya tetapi wakaf tersebut tidak boleh dibuat untuk kepentingan waris-warisnya. Wakaf ini hanya boleh berkuatkuasa selepas kematian pewasiat. Sebelum pewasiat mati, dia boleh membatalkan wakafnya tetapi harta yang diwakafkan itu mestilah diberi kepada badan kebajikan yang lain.

  31. Berapa banyakkah harta saya boleh diwakafkan melalui Wasiat?
    Wakaf di dalam Wasiat hanya terhad kepada 1/3 daripada harta simati. Jika wakaf dibuat di dalam Wasiat melebihi 1/3, harta wakaf yang melebihi itu adalah tidak sah kecuali selepas kematian anda, waris-waris anda bersetuju mengenainya.



  32. Menulis Wasiat dengan peguam adalah lebih murah. Kenapa perlu saya menulis Wasiat dengan as-Salihin?
    Peguam tidak memberikan perkhidmatan ditempat yang anda kehendaki. Kebanyakkan peguam sudah sibuk menghadiri kes di mahkamah atau mempunyai banyak urusan undang-undang yang perlu disegerakan. Peguam mungkin tidak menjurus kepakaran secara khusus dalam penulisan Wasiat kerana ia bukanlah sumber pendapatan utama mereka serta jumlah pelanggan mereka yang membuat Wasiat adalah terhad. Mereka tidak menyediakan perkhidmatan menyimpan Wasiat. Akan tetapi, kami adalah pakar dalam penulisan Wasiat dan kami menyediakan anda perkhidmatan persendirian di tempat yang anda kehendaki/selesa tanpa gangguan samada di rumah atau di pejabat anda. Kami juga mempunyai penasihat undang-undang dan Lembaga Penasihat Syari’ah untuk membantu serta mengawal semua urusan Wasiat.

  33. Bukankah saya akan menjimatkan wang jika saya menyimpan Wasiat sendiri?
    Benar, anda akan menjimatkan wang jika anda menyimpan sendiri Wasiat anda. Tetapi anda mungkin menghilangkannya maka sia-sia sahaja anda membuat Wasiat jika Wasiat tersebut tidak dapat diperolehi selepas kematian anda.

  34. Bayaran Penyimpan Wasiat Profesional adalah sangat mahal malah lebih mahal daripada bayaran peti deposit keselamatan saya.
    Peti deposit keselamatan akan dibekukan selepas kematian. Ini akan menyukarkan keluarga anda untuk memperolehi dan mengetahui kandungan Wasiat kerana mereka mungkin tidak mengetahui kedudukan Peti Deposit Keselamatan tersebut (jika mereka mengetahui, mereka tetap memerlukan perintah mahkamah untuk membuka peti tersebut, ini memerlukan kos dan usaha yang banyak). Akan tetapi, Khidmat Penyimpan Wasiat Profesional kami hanyalah sebanyak RM 0.20 sehari dan Wasiat anda akan menjadi dokumen yang sangat bernilai dan nilai bertambah dengan Bayaran Simpanan Tahunan hanya dengan RM80.00 sahaja. Apabila Wasiat disimpan di as-Salihin, semua pewasiat akan menerima 3 kad simpanan Wasiat, sebuah Buku Senarai Harta Peribadi, Surat Peringatan Memperbaharui Tahunan dan akan mendapat Insurans Kemalangan Peribadi bernilai RM10,000 percuma dengan sekali bayaran pendaftaran sebanyak RM25.00.
    Dengan sedikit bayaran, kami memastikan hasrat anda akan ditunaikan menurut Wasiat anda kerana Wasiat anda bebas daripada kerosakan atau kemusnahan yang tidak disengajakan. Yang lebih penting, ia boleh diubah pada masa yang dikehendaki. Terpulanglah kepada anda untuk membuat keputusan.

  35. Adakah perkhidmatan Penyimpan Wasiat Profesional akan menyimpan Wasiat saya dengan baik?
    Ya, mereka akan menyimpannya dengan baik. Setelah anda meletakkan Wasiat dalam simpanan as-Salihin, ia akan dikendalikan dengan baik, Nombor rujukan dan kad simpanan Wasiat akan diberi sebagai kawalan untuk mendapatkannya semula.

  36. Kenapa saya tidak boleh membayar hanya satu yuran simpanan untuk Wasiat saya dan Wasiat isteri saya?
    Setiap individu akan mempunyai nombor penyimpanan. Oleh itu adalah mustahil untuk wasiat dua orang disimpan menggunakan satu nombor rujukan. Bolehkah suami dan isteri mempunyai sepasang kasut yang sama atau mempunyai nombor kad pengenalan yang sama? Ini adalah untuk kami mengawal supaya hanya pewasiat atau wasi yang dilantik selepas kematian pewasiat sahaja yang boleh mendapatkan Wasiat tersebut.



  37. Saya mempunyai peti deposit keselamatan/Saya akan menyimpannya sendiri/Saya akan menyimpan Wasiat di rumah.
    Masalah akan timbul bila seseorang meninggal dunia, semua asetnya termasuk peti deposit keselamatan akan dibekukan walaupun jika dibuat nama bersama. Jika begitu Wasiat tersebut tidak akan menjadi rahsia dan sulit lagi kerana apabila ia disimpan di dalam peti deposit keselamatan, pemegang akaun bersama akan boleh mendapatkan Wasiat tersebut.

    Menyimpan Wasiat di peti deposit keselamatan tidak menjamin Wasiat anda dilindungi daripada kerosakan dan ia boleh mengundang masalah kepada keluarga anda jika mereka mengetahui kandungannya maka ia tidak menjadi sulit lagi. Sebaliknya, kami akan menghantar surat peringatan kepada anda setiap tahun samada anda mahu menulis semula Wasiat anda atau mengemaskini Buku Senarai Harta Peribadi. Dinasihatkan bahawa sebarang perubahan undang-undang akan memberi kesan kepada Wasiat anda. Menyimpan Wasiat samalah seperti insurans melindungi harta dan benefisiari anda.

    Setelah lama menyimpan, anda mungkin akan terlupa di mana anda telah menyimpannya. Contohnya 5 tahun kemudian atau jika berlaku sesuatu, keluarga anda mungkin akan sukar untuk mengetahui dan mengingati di mana anda menyimpan Wasiat anda.

  38. Tidak perlukan penyimpanan seumur hidup.
    Ditakdirkan bahawa anda akan hidup lebih 10 tahun lagi dan setelah dibahagikan RM800.00 dengan 30 tahun, hanya 7 sen sahaja satu hari. Ia tidaklah mahal sangat dan wang yang digunakan untuk membayarnya adalah berbaloi.

    Anda boleh mencadangkan Simpanan Premier (PLC) kepada klien anda. Kelebihannya adalah mendapat potongan istimewa jika menulis semula Wasiat serta boleh membayar ansuran istimewa. Statistik kami menunjukkan bahawa 4%-5% pelanggan kami menulis semula Wasiat setiap bulan dan PLC memberi mereka potongan seumur hidup dengan satu bayaran yang rendah iaitu hanya RM1,200.


  39. Saya tidak mempunyai banyak harta untuk diwasiatkan.
    Walaupun sekarang anda tidak mempunyai banyak harta untuk diwasiatkan, menulis Wasiat adalah memenuhi aspek yang penting di dalam Islam iaitu mengikut Sunnah seperti apa yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar.

    Tambahan pula, beberapa tahun kemudian harta anda akan bertambah dan Wasiat yang kami sediakan adalah merangkumi harta akan datang tanpa perlu menulis semula Wasiat tersebut jika anda tidak mahu berbuat demikian. Disamping itu jika anda mempunyai anak-anak yang masih kecil, anda boleh melantik penjaga bagi harta mereka melalui Wasiat.

  40. Kawan saya seorang peguam memberitahu saya bahawa dia boleh menyimpan Wasiat saya di dalam simpanan di pejabatnya. Mengapa saya harus menghabiskan wang untuk menyimpan Wasiat saya di dalam simpanan as-Salihin?
    as-Salihin adalah sebuah Syarikat Pemegang Amanah yang berdaftar di bawah undang-undang dan ia adalah kekal. Semua Wasiat di dalam simpanannya diinsuranskan. Akan tetapi firma undang-undang akan terhenti atau ditutup apabila pemilik tunggal atau semua rakan kongsinya mati. Dalam situasi ini benefisiari anda tidak dijamin akan mendapat semula Wasiat anda tanpa kesukaran. Kenapa perlu mengambil risiko ini?

  41. Kerahsiaan Wasiat/Saya tidak percaya kepada Perancang Harta Islam (IEP).
    Semua IEP mestilah mematuhi kod etika syarikat dan mereka telah dilatih secara profesional untuk tidak memecahkan maklumat pelanggan kepada pihak ketiga yang mempunyai autoriti. Sama seperti hubungan peguam dan pelanggan dan juga doktor dan pesakit. Yang lebih penting, menulis Wasiat oleh IEP adalah mata pencarian IEP dan sudah pasti as-Salihin tidak mahu menjejaskan mata pencarian mereka. Orang yang mengetahui tentang kandungan Wasiat anda adalah IEP dan penasihat undang-undang syarikat. Jika maklumat dipecahkan kepada pihak ketiga yang tidak mempunyai autoriti, syarikat akan menamatkan kontrak IEP serta syarikat akan mengiklankan nama dan gambar mereka yang menyatakan bahawa kami tidak lagi berkerjasama dengan IEP tersebut serta anda boleh mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.
    Lagipun, Wasiat hanya sah selepas anda meninggal dunia. Oleh itu anda boleh menulis semula Wasiat anda.


  42. Sebagai ibu, bolehkah saya melantik penjaga bagi harta anak-anak saya?
    Dalam Islam, hanya bapa yang mempunyai hak untuk melantik penjaga bagi harta anak-anaknya.

  43. Apakah perbezaan di antara Amanah Hayat dan Amanah Wasiat?
    Amanah Wasiat ialah amanah yang dibuat di dalam Wasiat dan berkuatkuasa selepas kematian Pewasiat. Amanah yang dibuat di dalam Wasiat adalah tertakhluk kepada peraturan satu-pertiga dan waris tidak boleh mendapat manfaat daripada amanah tersebut tanpa persetujuan daripada waris-waris lain.

    Amanah Hayat ialah amanah yang dibuat oleh setlor untuk manfaat benefisiari dan berkuatkuasa serta merta apabila amanah dibuat. Harta di bawah Amanah Hayat tidak dikira sebagai sebahagian daripada harta setlor dan ia tidak akan dibekukan semasa setlor meninggal dunia. Oleh itu, perintah mahkamah untuk mentadbir harta tersebut tidak diperlukan kerana amanah tersebut berkuatkuasa serta merta berdasarkan syarat-syarat dan terma-terma di dalam Surat Ikatan Amanah.

  44. Adakah cadangan pindaan kepada Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) Akta 1984 mempunyai apa-apa kesan ke atas Deklarasi Harta Sepencarian?
    Cadangan pindaan tersebut antara lainnya memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah, sebelum membenarkan suami berpoligami, “untuk memerintahkan supaya apa-apa harta yang telah diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan itu atas usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana harta itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan”. Pihak yang terlibat masih perlu membuktikan bahawa harta tersebut telah diperolehi bersama.

    Sebaliknya, Deklarasi Harta Sepencarian yang kami sediakan, seperti yang telah diisytiharkan oleh pihak-pihak yang berkaitan, menyatakan bahawa harta tersebut adalah diperolehi bersama semasa perkahwinan. Bukti ini sudah mencukupi dan tidak perlu bukti lain untuk dibawa ke mahkamah. Oleh itu, cadangan pindaan tersebut tidak mempunyai apa-apa kesan ke atas Deklarasi Harta Sepencarian kami malah ianya patut digalakkan bagi mereka yang belum membuatnya untuk mengambil langkah
    awal.

© 2005 as-Salihin Trustee Berhad

1 comment:

Yana Zairani said...

assalmuallaikum....
ustaz saya nak tanya 1 soalan...saya ada dua beradik...1 laki 1 perempuan....saya ialah anak angkat bagi 1 keluarga...saya telah dibintikan atas nama ayah angkat saya..sebelum arwah meninggal dia telah membahagikan harta kepada saya dan anak kandungnya...setahu saya kalau anak angkat dibinti atau dibin hukum nya adalah haram...bagaimana hukum harta yang saya dapat???? saya nak tahu bagaimana hukum harta yang saya dapat....halal atau haram...
bagaimana hukum hendak menebus dosa arwah ayah angkat saya kerana telah membintikan nama saya dengan nama beliau....