Rahsia Anak Pintar

06 November 2008

Konsep Harta Dalam Islam

Konsep harta dalam Islam menyatakan bahawa secara mutlaknya harta yang kita miliki adalah milik Allah. Kita diberi hak pemilikan sementara sahaja semasa kita hidup. Apabila kita telah tiada lagi di dunia ini maka harta tersebut akan dikembali semula secara otomatik kepada Allah pencipta sekalian alam buat sementara waktu, sehingga harta itu dapat diagihkan semula kepada waris-waris yang masih hidup.

Sebagai khalifah, kita dipertanggungjawabkan untuk memindah hak milik harta tersebut kepada waris kita dan juga kepada bukan waris (dibenarkan sekiranya menghendaki). Proses pemindahan hak milik ini dilaksanakan melalui faraid atau wasiat. Pada kebiasaannya proses ini akan dilaksanakan selepas kita meninggal dunia, tetapi sebenarnya adalah lebih baik kalau kita dapat melaksanakan perancangannya sendiri semasa kita hidup.

Sebagai pemilik harta, kita digalakkan membuat perancangan pemindahan hak milik harta ini semasa hidup melalui instrumen-instrumen yang ada dalam perancangan harta pusaka Islam bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini seperti pergaduhan sesama saudara dan risiko kebajikan keluarga tidak terjaga akibat harta yang beku oleh proses perundangan (tidak dapat digunakan atau dikeluarkan) selepas meninggal dunia.

Masa depan keluarga kita bergantung kepada apa yang kita rancangkan semasa hidup. Perancangan harta semasa hidup menjamin kesinambungan warisan keluarga kita di masa hadapan apabila kita telah tiada. Jangan biarkan hidup orang yang kita sayang terumbang-ambing akibat kesilapan kita tidak melaksanakan perancangan harta. Perancangan harta pusaka adalah lebih mudah dan murah apabila kita tahu bagaimana caranya.

15 July 2008

Keperluan Wasiat Menurut Undang-Undang Malaysia

Apa perlunya wasiat sedangkan faraid telah ditetapkan oleh al-Quran. Adakah berdosa jika tidak mematuhi faraid. Ramai orang Islam yang mempunyai tanggapan sedemikian. Keadaan ini berlaku kerana kurangnya kesedaran dan pengetahuan orang ramai tentang keperluan dan kebaikan menulis wasiat.
Wasiat bukan setakat merancang pembahagian harta pusaka kepada benefisiari tertentu malah ia lebih daripada itu. Dengan adanya wasiat anda boleh melantik seorang wasi yang anda yakin dan percaya untuk mentadbir harta pusaka anda setelah anda meninggal dunia, demi kemudahan orang-orang yang anda sayangi. Disamping itu bagi pewasiat lelaki anda boleh melantik penjaga bagi harta anak-anak anda dikalangan orang yang anda percaya. 

Faraid telah menetapkan bahagian waris masing-masing. Tetapi di Malaysia undang-undang yang terpakai dalam urusan harta pusaka sama ada orang Islam atau bukan Islam tertakluk kepada Akta Probate dan Pentadbiran 1959 dan Akta Pusaka Kecil (Pembahagian 1955). Dengan kata lain walaupun waris anda telah berhak mewarisi harta si mati di bawah hukum Faraid atau pun sijil Faraid telah diperoleh daripada Mahkamah Syariah, tetapi harta tersebut hanya boleh diwarisi oleh waris setelah surat kuasa di keluarkan oleh mahkamah. Sementara itu Harta Pusaka si mati akan dibekukan sehinggalah surat kuasa tersebut di perolehi.

Menurut Akta tersebut jika seseorang yang meninggal dunia dan meninggalkan wasiat yang lengkap dengan melantik wasi yang berwibawa untuk mentadbir hartanya, Probate akan dikeluarkan, manakala bagi kes seseorang meningal dunia tanpa meninggalkan wasiat Surat Kuasa mentadbir akan dikeluarkan oleh makamah.

Apabila seseorang meninggal dunia tanpa meninggalkan Wasiat, maka seorang pentadbir yang bertanggungjawab diperlukan untuk memohon Surat Kuasa Mentadbir dari mahkamah seterusnya menguruskan pengagihan harta kepada waris-waris yang berhak. Pentadbir biasanya dipilih dikalangan waris. Kadang kala di sinilah timbulnya kekecohan atau pertelingkahan apabila tiada kata sepakat dalam menentukan siapa yang layak untuk mentadbir. Pentabdir adalah orang yang pertama sekali akan memegang harta simati. Tambahan pula dua orang penjamin yang mempunyai nilai harta sekurang-kurangnya sama dengan nilai harta simati dikehendaki dalam proses mendapatkan surat kuasa mentadbir dari mahkamah. Penjamin ini diperlukan untuk menjamin Bon Pentadbiran (bagi nilaian harta RM50,000 dan ke bawah). Jika melantik syarikat amanah sebagai pentadbir maka ia terkecuali daripada Bon Pentadbiran. Proses mendapatkan surat kuasa mentadbir adalah diantara 2-5 tahun. Kesukaran mendapatkan kata sepakat dalam memilih pentadbir serta mendapatkan penjamin melewatkan proses pengeluaran surat kuasa mentadbir. Sebaliknya bagi seseorang yang meninggal dunia dan meninggalkan Wasiat yang lengkap prosesnya adalah lebih cepat di antara 6 bulan-1 tahun sahaja kerana pentadbir atau wasi telah pun dilantik oleh si mati semasa hayatnya malah tidak perlu membayar bon pentadbiran jika wasi yang lantik berkemampuan melaksanakan tugas.




WASIAT MENURUT ISLAM

Orang Islam digalakkan menulis wasiat.
Diriwayatkan Talha bin Musharrif "Saya bertanya Abdulah bin Abu Aufa, adakah Rasulullah S.A.W membuat Wasiat? Dia menjawab tidak, saya bertanya beliau bagaimanakah umat Islam difardukan supaya berwasiat (atau diperintahkan supaya berwasiat? Ia menjawab: Raslullah berwasiat dengan kitab Allah (al-Quran)".
Dipetik daripada Sahih Al Bukhari (jilid IV m/s 1).
.
Hukum menulis wasiat ke atas orang Islam adalah sunnat kerana terdapat hadis yag menyuruhnya serta perbuatan sahabat-sahabat besar yang hampir keseluruhanya meninggalkan wasiat. Ibn Umar meriwayatkan Rasullulah s.a.w bersabda bermaksud: “Tidak wajar kepada seseorang Islam apabila terdapat sesuatu yang hendak ia wasiatkan maka ia tidur dari dua malam melainksn wasiatnya itu tertulis disisinya. (Riwayat Muttafaq Alaih).

Hadis riwayat Jabir menerangkan kelebihan orang berwasiat di mana Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang mati meninggalkan wasiat maka ia mati atas jalan Islam, mati dalam keadaan mengikuti sunnah, mati dalam ketaqwaan, mati dalam syahadah, dan matinya diampuni”. (Riwayat Ibn Majah).
.
Sebagaimana dinyatakan, kebanyakkan para sahabat Rasulullah s.a.w telah pun berwasiat. Al Qurtubi menceritakan di dalam tafsirnya bahawa saidina Abu Bakar dan Saidina Ali mewasiatkan satu perlima dari hartanya, saidina Umar mewasiatkan satu perempat, manakala Sa’ad ibn Waqas mewasiatkan satu pertiga. Manakala Saidatina Aisyah pula mewasiat barangan rumahnya kepada bekas-bekas hambanya. Ibn Umar pula mewasiatkan kepada bekas-bekas isterinya setiap seorang 4,000 dirham. Contoh-contoh ini menunjukkan para sahabat faham berwasiat adalah satu kewajiban agama yang dituntut walaupun ia bukan sesuatu yang difardukan (diwajibkan).

Kadar harta yang boleh diwasiatkan adalah setakat satu pertiga kepada bukan waris.
Namun Islam membenarkan berwasiat lebih daripada satu pertiga atau berwasiat kepada waris dengan syarat mestilah mendapatkan persetujuaan waris-waris lain selepas kematian pewasiat. Terdapat pengecualian di Selangor, menurut Seksyen Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999 yang membenarkan berwasiat satu pertiga kepada waris tanpa perlu persetujuan waris lain.

Faraid menjaga hak waris manakala wasiat pula memberi hak dan ruang kepada pemilik harta untuk pemberian kepada bukan waris seperti kepada anak angkat, ibu bapa angkat, ahli keluarga bukan Islam, cucu atau ahli keluarga yang tidak mendapat bahagian dalam Faraid ataupun untuk apa-apa tujuan kebajikan.



KESEDARAN TENTANG FARAID


Ramai yang salah faham tentang konsep Faraid. Sebenarnya harus difahamkan bahawa Faraid hanya menetapkan nilai saham atau bahagian yang khusus untuk waris-waris tertentu dan bukannya menentukan bentuk pembahagian. Pembahagian yang dibuat sewajarnya perlu munasabah mengikut kesesuaian dan mestilah mendatangkan keuntungan dari segi ekonomi dan mampu meningkatkan kualiti hidup dan pembangunan ekonomi waris. Salah tanggapan ini menyebabkan banyak kes yang berlaku yang mana satu harta dikongsi oleh ramai waris yang tentunya mendatangkan kerugian dari segi ekonomi. Keadaan ini menyebabkan nilai komersial hilang dan hartanah sukar untuk dimajukan kerana para waris gagal mendapat kata sepakat dalam usaha memajukan tanah tersebut. Contoh terdekat dapat dilihat di Kg. Baru. Satu lot tanah yang hanya seluas 1.8kaki persegi dikongsi seramai 90 orang. Walaupun waris berhak ke atas lot tanah tersebut tetapi dari segi nilai tiada harga. Malah untuk memajukannya juga banyak kekangan kerana perlukan persetujuan semua pihak terbabit.


KESIMPULAN

Dalam menangani masalah ini wasiat boleh memainkan peranan. Orang ramai digalakkan membuat wasiat dan melantik wasi dalam wasiat tersebut untuk mentadbir hartanya kelak apabila meninggal dunia. Di dalam Wasiat juga boleh ditetapkan cara pembahagian harta tersebut adalah mengikut Faraid dari segi nilai saham / bahagian atau boleh juga menentukan secara khusus harta-harta tertentu kepada waris-waris tertentu berdasarkan saham mereka menurut Faraid. Contohnya anak lelaki diberi rumah A manakala tanah B diberi kepada anak perempuan. Dengan berbuat demikian masalah perkongsian satu harta dengan ramai waris dapat dielakan. Sekiranya harta yang ditinggalkan tidak banyak adalah lebih baik memberi kuasa kepada wasi untuk membahagikan harta menurut saham faraid dan pada masa yang sama memberi kuasa kepada wasi untuk bertindak dengan budi bicaranya membahagikan harta tersebut dengan mengambil kira aspek ekonomi.