Rahsia Anak Pintar

21 October 2009

Harta Masih Atas Nama Datuk

Kes-kes yang saya nyatakan dibawah ini adalah yang benar2 berlaku dalam kehidupan kita.Jadi marilah kita sama2 mengambil iktibar dan renungkan perkara ini dan bayangkan sekiranya ia terjadi kepada diri dan keluarga kita.Mari kita sama2 hayati kes-kes ini.


Kes Pertama (Lenggong) :

Ada seorang makcik yang berstatus nenek telah datang berjumpa dengan saya dan mengadukan masalahnya kepada saya.
Beliau berkata :
Nak! Ini bukan masalah pusaka tetapi adalah masalah harta saya! Saya adalah anak tunggal dari ayah! Ayah saya telah lama meninggal dunia. Semasa ayah masih hidup dulu, suatu hari datuk telah memanggil kesemua anak-anaknya (adik beradik ayah termasuk ayah) dan berkata : "Ayah nak pergi Mekah ni. Sapa yang nak beli tanah ayah ni bagi duit cepat. Senang!Ayah nak guna duit tu ke Mekah. Jadi,siapa beli, tanah tu dia punyalah! ayah bagi geran sekarang ni jugak."
Kebetulan ayah saya ada duit,maka ayah pon belilah tanah tersebut dengan disaksikan oleh adik beradiknya. tetapi orang dulu manalah tahu urusan jual-beli.Surat hitam putih xada.nama digeran pon tidak ditukar bermakna masih atas nama datuk lagi. tetapi adik beradik ayah tahu bahawa tanah tersebut dah dibeli oleh ayah."" Selepas datok meninggal,adik beradik ayah tidak menuntut tanah tersebut kerana tahu ia adalah milik ayah.tetapi sampai ke sudah ayah masih tidak tukar nama. dan sebelum ayah meninggal dia telah menyerahkan tanah tersebut kepada saya dengan lafaz "kamu ambillah tanah ini,terpulanglah kepada kamu nak buat ape dengan tanah ini. nak jual ke bangunkan ke nak sedekah ke itu hak kamu!"... tetapi geran tersebut masih atas nama datok.lepas ayah meninggal saya simpan kan saje geran itu,tanah tersebut tdak di kerjakan..sape nak kerjakan? tanah tu di tengah hutan! tiba2 kerajaan ambil tanah tu utk projek PLUS dan pampasannya bernilai RM700K! malangnya wang tersebut beku di Amanah Raya sampai skarang belum selesai. ini kerana masalah besarnya ialah tanah tersebut masih atas nama datuk saya!!"Ayah dan datuk dah lama meninggal,skarang yang tinggal hanyalah peringkat saya iaitu anak2 maknanya makcik dan sepupu2 makcik. dah berulang2 kali kami bicara pasal pusaka!mcik katakan pada mereka bahawa mereka xada hak ke atas tanah tersebut.macik pernah bertanya pada mereka : "Masa mak bapak korang masih hidup dlu durang xcakap ker yang tanah tu ayah saya dah beli dari datok dan kemudian diberikan kepada saya??!!" Apa kata mereka? : "memang dulu mak bapak kami ada bagitau!cuma cerita sekarang ini ialah kalau tanah tu bapak ko da beli dari datuk kenapa masih nama datuk?kenapa ayah ko xtukar nama?bukti jual beli pon xada! dan kalo ko kata ayah ko dah bagi pada kau maka kenapa ko tak tukar nama tanah tu kepada ko?sampai sekarang masih nama datuk!jadi,kalau da nama datuk maka ia adalah pusaka datuk. dan kalau pusaka datok maka kami sudah pasti ada HAK!! jadi sekarang ni kami nak hak kami, tak kiralah berapa. sikit atau banyak! kami tetap nak kan hak kami!"jadi sekarang ni, apa makcik perlu buat!?anak boleh tolong makcik selesaikan masalah ini ke?"Sidang pembaca budiman!Seandainya anda berada di tempat saya, apakah jawapan yang akan anda berikan? Apa cara yang anda buat utk membantu si makcik tadi,kalaulah meninggal dunia si makcik tadi sebelum kes tersebut selesai,sudah pasti masalah harta tersebut akan menjadi semakin rumit..Fikir2kanlah.


Dipetik dari [http://as-salihin.forumotion.com/misc-f23/kes-kes-mengenai-pembahagian-harta-pusaka-t33.htm?#380], by Mohd Fazhiruddin Kamaruddin

14 May 2009

WASIAT KEPADA (WARIS @ BUKAN WARIS)

Terdapat persoalan yang dilontarkan kepada pihak as-Salihin Trustee mengenai kekeliruan wasiat apabila pernyataan di mana wasiat bukan untuk seorang waris telah dibincangkan di kaca televisyen (tv9) dalam beberapa minggu lepas yang mana telah menimbulkan sedikit persoalan mengenainya,jadi di sini saya telah diarahkan untuk membuat sedikit komen atau jawapan kepada persoalan tersebut oleh pihak pengurusan as-salihin,semoga penjelasan ini dapat memberikan input kepada kita semua.

Persoalan yang timbul adalah sebenarnya terdapat kekeliruan dalam penerangan tentang kepentingan wasiat dan sama ada wasiat adalah sesuatu yang dibolehkan oleh agama kepada waris atau tidak telah menjadi isu yang diperkatakan di sini. Oleh itu kita akan membincangkan dengan lebih teliti konsep penulisan wasiat dan juga kaitannya dengan undang-undang syarak di Malaysia dan pemakaiannya dari perspektif undang-undang sivil.

Pertamanya sekali tentang konsep sebenar wasiat. Penerangan mengenai wasiat telah di sebut oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 180 yang menyatakan tentang kewajipan untuk menulis wasiat tetapi ia telah dinasakhkan dengan penurunan surah an-Nisa ayat 11-12 yang menyatakan bahawa tidak lah mewajibkan seorang mukmin itu menulis wasiat tetapi lebih kepada diharuskan. Tetapi dari hadis-hadis yang pernah disebut oleh Rasulullah SAW telah menggalakkan kita untuk menulis wasiat antaranya ialah :

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“ orang yang malang ialah orang yang tidak sempat berwasiat”

-Riwayat Ibnu Majah-

Dan dalam hadis lain Rasulullah SAW menyatakan lagi :

“ sesiapa yang meninggal dunia dengan meninggalkan wasiat, maka dia mati di atas jalan ini dan sunnah. Dia mati dalam keadaan bertaqwa, bersyahadah dan dalam keadaan diampunkan.”

-Riwayat Ibnu Majah-

Sabda Rasulullah lagi:

adalah rugi seseorang mukmin itu sekiranya dia tidur dua hari berturut-turut tanpa menulis wasiat dan meletakkan di bawah kepalanya semasa ia tidur.

Jadi adalah jelas bahawa Rasulullah amat menggalakkan umatnya untuk menulis wasiat semasa masih hidup sekiranya mempunyai harta yang akan ditinggalkan.

Wasiat sememangkan bukan untuk waris kerana wasiat adalah sebenarnya untuk bukan waris sahaja.

Rasulullah bersabda bermaksud:

“Sesungguhnya Allah mengurniakan hak kepada setiap yang berhak. Tidak harus wasiat untuk pewaris”. (Riwayat Abu Daud).

Peraturan asas wasiat, ia hanya boleh diberikan kepada bukan waris. Anak adalah ahli waris, oleh itu merujuk nas, tidak boleh membuat wasiat kepada anak berkenaan. Tetapi kita sedang melihat dari satu situasi sahaja yang mana tujuan peraturan ini adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mengharapkan pahala serta memenuhi segala kekurangan ketika hayat pembuat wasiat. Anak dan waris lain mendapat bahagian mereka melalui pusaka.

Tetapi sekiranya kita lihat satu lagi hadis Rasulullah SAW yang berbunyi :

La wasiyati Li waarithin illa yujiiza al Warathah.
“Tidak harus wasiat kepada waris kecuali diizinkan oleh waris yang lain”


(Riwayat Daruqutni daripada Ibnu Abbas r.a).

Ini bermakna walaupun peraturan asas wasiat adalah waris tidak boleh menerima wasiat tetapi ia tidak lah sesuatu yang absolute atau tidak boleh disangkal. Menurut hadis di atas terdapat satu pengecualian atau dari segi bahasanya di sebut sebagai ‘isthisna’ yang disebut selepas penafian memberi makna ‘ithbaat’ atau pembenaran. Dengan itu hadis ini menjadi dalil kepada SAHNYA wasiat tersebut apabila terdapat kerelaan dan penerimaan atau pembenaran dari waris lain.

Pendapat lain menyatakan bahawa perbuatan mewasiatkan harta kepada waris ini adalah ‘mauquufah’. Iaitu ia tidak membenarkan wasiat kepada waris tetapi kitab ‘Aunul Ma’bud dalam menerangkan makna hadis tersebut menegaskan bahawa pandangan yang tidak membenarkan perbuatan mewasiatkan harta kepada waris adalah semata-mata untuk menjaga kepentingan hak-hak waris-waris lain, oleh itu sekiranya mereka membenarkan, bersetuju menerima kandungan wasiat itu sebagaimana halnya jika mereka bersetuju diwasiatkan harta lebih daripada 1/3 kepada bukan waris (oleh si mati) maka perbuatan itu adalah DIHARUSKAN.

Jadi di as-Salihin Trustee Bhd kami menggunakan dalil-dalil yang kuat dan telah dipersetujui secara bersama oleh Lembaga Syariah syarikat ini tentang kebenaran membuat wasiat dan wasiat itu dibenarkan serta diterima oleh waris lain, tetapi peraturan asas wasiat iaitu wasiat bukan untuk waris adalah tulang belakang kepada setiap wasiat yang dibuat di as-Salihin. Oleh itu wasi, boleh, dengan kuasa yang ada padanya menyerahkan bahagian faraidh waris yang tidak bersetuju dengan wasiat yang dibuat oleh pewasiat sebelum kematiannya.

Adalah perlu diingatkan bahawa kepentingan wasiat hari ini adalah untuk dua perkara ini iaitu :
i. melantik wasi bagi menjadi pentadbir harta bagi pihak si pewasiat selepas kematiannya dan,
ii. perlantikan penjaga bagi pewasiat yang masih mempunyai anak di bawah umur yang tidak boleh mentadbir harta.

Ini adalah sangat penting memandangkan perkaitannya dengan undang-undang sivil di Malaysia yang memerlukan pentadbir harta dilantik sebelum kuasa mentadbir harta diberikan kepada wakil si mati untuk mentadbir dan menguruskan harta si mati bagi di serahkan kepada yang berhak. Tetapi undang-undang telah menetapkan satu prosedur yang dirasakan sangat sukar untuk dilakukan dalam sesetengah situasi yang membabitkan masalah pusaka yang rumit. Tetapi undang-undang membenarkan pemilik harta melantik sendiri wasi atau pentadbir harta bagi pihaknya tanpa memerlukan persetujuan waris lain. Jadi di sinilah terletaknya kepantingan wasiat. Wasiat yang di tulis di as-Salihin tidak sesekali meletakkan faraidh di belakang kerana faraidh adalah tunjang kepada perancangan dan pembahagian harta umat Islam di Malaysia. Cuma dengan adanya wasiat akan memudahkan tuntutan hak oleh waris si mati.

Beberapa perkara perlu diketahui berkaitan wasiat kepada waris ini iaitu:

1) Jika wasiat ditujukan kepada waris, penerimaan atau penolakan waris ketika hayat pewasiat tidak memberikan sebarang kesan kerana pewaris tidak mempunyai sebarang hak dalam pusaka ketika hayat pewasiat. Mana-mana waris yang menerima wasiat melalui wasiat ketika hidup pewasiat, boleh menolaknya selepas kematian pewasiat. Mana-mana waris yang menolak harta ketika pewasiat masih hidup, boleh menerimanya selepas kematian pewasiat. Oleh itu, setiap waris tidak terikat dengan mana-mana perjanjian wasiat yang dibuat ketika hayat pewasiat.

2) Penerima wasiat mesti menjadi waris ketika kematian pewasiat, bukan ketika wasiat dibuat. Jika pewasiat mewasiatkan harta kepada saudaranya kerana beliau tidak mempunyai anak, tetapi sebelum pewasiat mati, pewasiat mendapat anak lelaki, wasiat itu sah dan boleh dilaksanakan kerana pada masa kematiannya, saudaranya bukan lagi waris yang berhak menerima pusaka kerana anak lelaki menghalang saudara kandung daripada mendapat pusaka.

3) Jika selepas kematian pewasiat, sebahagian pewaris setuju dan sebahagian lagi membantah, maka hukumnya perlu diperinci. Wasiat dibatalkan daripada bahagian waris membantah dan dilaksanakan pada bahagian waris yang setuju mengikut bahagian mereka dalam pusaka.

4) Jika wasiat berkaitan wakaf dan hadiah dibuat kepada waris ketika pewasiat hampir mati ia juga memerlukan persetujuan waris yang lain. Merujuk Ahmad Hidayat Buang dalam Bagaimana Membuat Wasiat, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, hikmah waris tidak berhak menerima wasiat daripada pewasiat adalah kerana hak mereka sudah dijamin hukum syarak melalui hukum faraid. Maka, pewasiat tidak wajar merosakkan keseimbangan agihan pusaka secara faraid yang ditetapkan hukum syarak.


Persoalan yang kedua adalah dari segi perkhidmatan atau instrumen-instrumen yang boleh digunakan dalam proses perancangan harta dari segi pembahagian dan pengagihan harta si pewasiat kepada waris-warisnya. Antara instrumen perancangan harta yang boleh digunakan dalam pengagihan harta pusaka ialah hibah, amanah serta wakaf. Di sini saya hanya merujuk kepada hibah sama ada ia dibenarkan dalam Islam atau tidak dan adakah ia telah melanggar hukum faraidh atau sebaliknya.

Hibah dari segi bahasa ialah pemberian tetapi dari segi istilah adalah akad yang membawa kepada perpindahan harta atau pemilikan secara percuma tanpa mengharapkan pulangan/imbalan ketika masih hidup secara sukarela. Jadi di sini unsur-unsur penting dalam hibah adalah :

i. akad
ii. milikan
iii. sukarela

ingin saya sentuh ketiga-tiga perkara di atas yang mana ia adalah sangat penting bagi menunjukkan bahawa Hibah adalah sebenarnya sesuatu yang dibenarkan dalam Islam dan tidak melanggar hukum faraidh.

Pertamanya adalah akad atau sebenarnya satu pengishtiharan pemberian oleh si pemberi kepada benefisiari atau penerima dengan adanya akad ini maka hibah itu boleh diterima. Keduanya ialah milikan yang mana merupakan satu unsur penting dalam hibah iaitu di mana si pemberi mestilah mempunyai milikan mutlak dan kuasa sepenuhnya ke atas harta yang ingin di hibahkan kepada orang lain. Di dalam Islam sendiri membenarkan pemilik harta itu melakukan apa sahaja kepada harta yang dimilikinya selagi ia tidak melanggar hukum syarak. Dan yang ketiga adalah sukarela iaitu setiap pemberian yang diberikan itu mestilah dijauhi dari sebarang unsur lain seperti paksaan dan juga fraud.

Berikut adalah antara dalil-dalil mengenai hibah dan sejauh mana ia digalakkan di dalam Islam :

Al-Baqarah : ayat 177

“dia memberi harta yang dikasihinya kepada keluarga yang terdekat, anak yatim, orang miskin, orang yang berhajat dan hamba”

Hadis Riwayat Bukhari & Muslim :

“berilah hadiah (Hibah) nescaya kamu akan dikasihi”

Dari Khalid bin ‘Adi, Rasulullah SAW bersabda :

“barangsiapa yang diberi oleh saudaranya kebaikan dengan tidak berlebih-lebihan dan tidak dia minta,hendaklah diterimanya (jgn ditolak). Sesungguhnya yang demikian itu pemberian yang diterima oleh Allah kepadanya”.

Jadi selagi pemberi hibah itu adalah pemilik mutlak yang mempunyai penguasaan penuh terhadap harta yang ingin dihibahkan maka, adalah di benarkan untuk membuat hibah ke atas harta tersebut kepada orang lain.

Sebenarnya semua instrument perancangan harta pusaka islam yang di praktikkan di Malaysia ini adalah berkonsepkan pemilikan penuh atau kuasa mutlak pemilik ke atas hartanya jadi tiada siapa yang boleh mempersoalkan hak pemunya untuk merancang penggunaan dan pengagihan harta yang ingin dilakukannya. Jadi sekiranya seseorang itu ingin melakukan hibah, wakaf atau amanah semasa hidup ia adalah sesuatu yang dibenarkan di dalam Islam kerana ia adalah hak kepada pemilik harta tersebut dalam mentadbir hartanya.

Tetapi sekiranya dia ingin membuat hibah atau mana-mana instrument perancangan tersebut di dalam wasiat ia adalah tertakluk kepada 1/3 dan jika melebihi dari 1/3 kebenaran waris-waris lain adalah diperlukan kerana selepas kematian milikan mutlak sudah tidak wujud dan harta pusaka tersebut adalah merupakan hak waris jadi persetujuan waris adalah diperlukan bagi tujuan yang dinyatakan di dalam wasiat.

Kesimpulannya ialah, setiap perancangan harta yang dibuat semasa hidup pemilik harta tersebut adalah dibenarkan di dalam Islam jadi tidak timbul isu sama ada ia melanggar hukum syarak atau berdosa. Wasiat sememangnya bukan untuk waris tetapi waris boleh menerima wasiat sekiranya setiap waris bersetuju dengan untuk menerima penetapan yang di nyatakan di dalam wasiat. Sekiranya waris tidak bersetuju maka pembahagian akan di lakukan mengikut hukum faraidh seperti yang telah di tetapkan dalam surah an-nisa ayat 11-12.

Dipetik dari [http://as-salihin.forumotion.com/wasiat-or-not-to-wasiat-n59.htm], Wed Jan 21, 2009 1:38 pm by Mohd Fazhiruddin Kamaruddin

11 January 2009

Soal Jawab Perancangan Harta Pusaka Islam

  1. Saya difahamkan bahawa undang-undang pewarisan Islam iaitu Faraid telah menetapkan bahagian-bahagian yang patut diperoleh oleh waris-waris simati. Kenapa saya perlu membazirkan masa dan wang untuk menulis Wasiat?
    Pembahagian Faraid adalah untuk waris-waris, sedangkan Wasiat membenarkan pembahagian 1/3 daripada harta pusaka kepada bukan waris yang memerlukan. Wasiat memberi peluang kepada orang Islam untuk terus mendapat pahala selepas meninggal dunia kerana mewasiatkan hartanya untuk tujuan kebajikan atau agama Islam.

  2. Adakah Islam mengalakkan menulis W asiat?
    Islam menggalakkan menulis Wasiat. Diriwayatkan oleh Abdullah Bin Umar R.A “Bukanlah seorang Muslim yang sebenar yang mempunyai harta untuk diwasiatkan untuk tidur dua malam kecuali wasiatnya sudah tertulis dan disimpan di bawah kepalanya.” (Petikan dari Sahih Al-Bukhari: vol IV p.1)

  3. Islam menggalakkan menulis Wasiat, adalah lebih mudah untuk saya meniru contoh yang telah sedia ada, contohnya di bawah Enakmen Wasiat Selangor 1999.
    Contoh Wasiat yang disediakan adalah Wasiat yang biasa sahaja, sedangkan as-Salihin menyediakan Wasiat yang lengkap dan dibuat berdasarkan keperluan, keadaan dan lain-lain perkhidmatan yang diperlukan oleh benefisiari yang masih hidup bagi mengelakkan sebarang konflik dan ketidak tentuan berlaku selepas kematian pewasiat.

  4. Saya masih bujang dan tidak mempunyai waris yang rapat. Kenapa saya perlu menulis Wasiat?
    Jika anda tidak menulis Wasiat dan anda tidak mempunyai waris yang boleh mewarisi, kesemua harta akan diberi kepada Baitul Mal. Anda boleh memberi harta anda kepada orang-orang tertentu melalui Wasiat sebanyak 1/3 daripada keseluruhan harta dan baki harta akan diserahkan kepada Baitul Mal. Dengan ini kedua-dua pihak akan mendapat bahagian.

  5. Tanggungan saya adalah lebih banyak daripada harta saya. Bolehkah saya menulis Wasiat?
    Anda boleh menulis Wasiat. Akan tetapi tanggungan anda akan diselesaikan terlebih dahulu sebelum pembahagian ke atas baki harta boleh dibuat kepada benefisiari.

  6. Saya mempunyai anak-anak yang masih kecil dan saya telah mengasingkan beberapa harta untuk kepentingan mereka? Bolehkah as-Salihin bertindak sebagai penjaga bagi harta anak-anak saya?
    Boleh, sekiranya as-Salihin dilantik sebagai Penjaga bagi harta anak-anak anda.

  7. Bolehkah saya melantik as-Salihin sebagai penjaga yang sah bagi anak-anak saya?
    Anda boleh melantik as-Salihin sebagai penjaga yang sah, tetapi bagi harta anak-anak anda dan bukannya penjaga bagi diri kanak-kanak tersebut. Penjaga bagi diri mestilah dilantik mengikut peruntukan undang-undang.

  8. Bolehkah as-Salihin bertindak sebagai Penjaga kepada anak-anak yang masih kecil?
    as-Salihin tidak boleh menjadi hadinah. Hak hadanah ke atas anak-anak yang masih kecil diberi keutamaan kepada saudara-saudara perempuan terdekat.
  9. Saya telah menganut agama Islam dan ibubapa masih beragama Buddha. Saya faham bahawa ibubapa saya mempunyai bahagian yang telah ditetapkan apabila saya meninggal dunia. Adakah begitu?
    Hanya orang Islam boleh mewarisi daripada orang Islam. Oleh kerana ibubapa anda bukan Islam mereka tidak boleh mewarisi daripada anda.

  10. Bolehkah saya berwasiat kepada ibubapa dan saudara yang bukan beragama Islam?
    Boleh.

  11. Bolehkah saya menerima pemberian melalui Wasiat daripada saudara atau kawan bukan Islam?
    Boleh.

  12. Bolehkah saya mewarisi daripada saudara bukan Islam (jika tiada Wasiat)?
    Tidak.

  13. Saya adalah seorang anak angkat. Bolehkah saya mewarisi daripada ibubapa angkat saya?
    Tidak.

  14. Bolehkah saya menerima Wasiat ibubapa angkat saya?
    Boleh.

  15. Saya adalah anak luar nikah. Bolehkah saya mewarisi daripada ibubapa sebenar saya (yang tidak berkahwin)?
    Anda hanya boleh mewarisi daripada ibu sahaja.

  16. Sebagai ibubapa yang bersekedudukan, bolehkan mereka mewarisi harta saya?
    Hanya ibu sahaja (dan bukan bapa) boleh mewarisi harta anda.

  17. Saya telah menceraikan isteri saya. Bolehkah bekas isteri saya menuntut hak terhadap harta saya apabila saya mati?
    Bekas isteri anda tidak boleh menuntut harta pusaka anda kerana apabila telah bercerai bekas isteri bukanlah dianggap sebagai waris yang layak lagi. Tetapi bagi isteri yang diceraikan, apabila suami telah menceraikan isteri dan suami mati ketika di dalam masa iddah, isteri masih dianggap sebagai waris yang layak dan boleh mewarisi harta anda.

  18. Di dalam Islam, adakah saya bebas untuk mewasiatkan semua harta saya?
    Menurut Undang-undang Islam, seorang Islam mempunyai kebebasan untuk mewasiatkan hanya 1/3 daripada keseluruhan hartanya.

  19. Berapa banyak saya boleh berwasiat kepada ahli-ahli keluarga terdekat?
    Menurut Mazhab Shafie, seorang Islam tidak boleh mewasiatkan hartanya kepada waris kecuali semua waris memberi persetujuan selepas kematian pewasiat. Di dalam kes anda, anda boleh mewasiatkan lebih daripada 1/3 kepada keluarga terdekat tetapi pembahagian harta tersebut tertakluk kepada persetujuan semua waris yang masih hidup.
    Tetapi di bawah undang-undang Selangor, Seksyen 26(2) Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999, orang Islam dibolehkan berwasiat sebanyak satu pertiga daripada keseluruhan aset kepada waris-warisnya walaupun tanpa persetujuaan waris-waris yang lain.



  20. Siapakah di antara saudara saya yang tidak boleh terkecuali daripada mewarisi harta saya?
    Dengan syarat mereka adalah orang Islam, bapa anda (ke atas), suami/isteri anda dan anak-anak anda tidak terkecuali daripada mewarisi harta anda.

  21. Berapa banyak saya boleh berwasiat kepada rakan-rakan saya?
    Anda boleh berwasiat hanya 1/3 daripada semua harta anda kepada rakan anda. Jika anda mewasiatkan lebih daripada 1/3, Wasiat yang melebihi daripada 1/3 tidak sah kecuali mendapat persetujuan semua waris selepas kematian pewasiat.

  22. Saya mempunyai sebidang Tanah Rizab Melayu dan ia melebihi 1/3 daripada semua harta saya. Bolehkah saya mewasiatkan tanah tersebut kepada rakan saya, Ali Chong Abdullah, seorang mualaf?
    Anda harus memahami bahawa dengan memeluk Islam rakan anda itu tetap berbangsa cina dan dia tidak boleh menjadi orang Melayu. Tanah Rizab Melayu hanya boleh dimiliki oleh orang Melayu, adalah dinasihati agar anda tidak mewasiatkan tanah tersebut kepada rakan anda yang berbangsa cina.

  23. Apakah benda yang tidak boleh saya Wasiatkan?
    Benda yang dianggap haram menurut Islam seperti alcohol dan khinzir tidak boleh menjadi harta yang diwasiatkan. Pemberian kepada tempat-tempat peribadatan agama selain Islam tidak boleh melalui Wasiat. Tidak dibenarkan juga seseorang mewasiatkan senjata dan patung-patung sembahyang kepada orang bukan Islam.





  24. Saya telah membuat Wasiat ketika saya bujang, jika saya tidak membuat Wasiat yang baru selepas berkahwin, masih sahkah Wasiat tersebut?
    Di dalam Islam, Wasiat tidak terbatal melalui perkahwinan atau perceraian. Wasiat yang anda buat sebelum berkahwin kekal sah kecuali anda membatalkannya dengan membuat Wasiat baru.

  25. Saya telah menamakan isteri saya sebagai penama di dalam borang EPF. Bolehkah isteri saya mendapat kesemua wang daripada akaun EPF saya apabila saya meninggal kelak?
    Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, penama bagi skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Wang Simpanan Pejabat Pos, Wang Simpanan di bank dan Simpanan Kesatuan Kerjasama adalah merupakan orang yang melaksanakan Wasiat simati iaitu sebagai pemegang amanah. Penama tersebut tidak boleh mewarisi kesemua harta tersebut tetapi dia mestilah membahagikan harta tersebut mengikut Faraid.

  26. Saya belum berkahwin ketika membeli polisi insurans dan saya menamakan kakak saya sebagai benefisiari. Oleh kerana saya telah berkahwin adakah kakak saya boleh mewarisi polisi insurans saya apabila saya meninggal dunia?
    Di dalam Islam, harta simati hanya boleh diwarisi selepas kematiannya dan dibahagikan mengikut Faraid. Kedudukan kakak anda hanyalah sebagai pemegang amanah (dan bukan sebagai benefisiari) dan beliau berkewajipan untuk membahagikan harta tersebut kepada waris-waris yang layak menurut Faraid (sila lihat soalan 25).



  27. Adakah seorang individu itu menjadi tidak layak untuk dilantik sebagai wasi bagi Wasiat saya kerana dia juga merupakan benefisiari di dalam Wasiat saya?
    Individu tersebut layak untuk menjadi wasi.

  28. Jika saya boleh melantik mana-mana individu untuk menjadi wasi Wasiat saya. Kenapa perlu saya melantik as-Salihin?
    Adalah lebih baik melantik as-Salihin sebagai wasi. Jika anda fikirkan bahawa orang kesayangan anda mungkin tidak mampu berfungsi dan bertugas sebagai wasi, anda wajar melantik as-Salihin sebaga wasi utama atau wasi ganti. Kelebihan melantik as-Salihin sebagai Wasi anda adalah seperti berikut:

    (a) Warisan kekal dan berterusan
    Sebagai sebuah syarikat, as-Salihin bersama kakitangan yang arif dalam bidang undang-undang akan sentiasa memastikan kesinambungan dalam proses pentadbiran hingga pembahagian harta yang terakhir.

    (b) Bertanggungjawab dan Adil
    Tidak seperti pemegang amanah individu, as-Salihin adalah badan pengawal di bawah obligasi undang-undang untuk memastikan wang sentiasa dijaga. Selain itu, sebagai badan korporat, as-Salihin bebas dan adil kepada semua benefisiari berbanding Wasi atau pemegang amanah individu yang mungkin mempunyai hubungan atau terikat dengan emosi.

    ( c) Profesional dan berkemampuan
    Dengan melantik as-Salihin, anda akan dijamin dengan profesional dan berkemampuan dalam menjalankan keseluruhan pentadbiran pada kos yang berpatutan.

    (d) Mempercepatkan proses undang-undang
    (i) Dengan Wasiat dan melantik as-Salihin sebagai Wasi, tidak akan berlaku pertelingkahan untuk memilih siapa yang wajar mentadbir harta pusaka. Hanya wasi yang dilantik di dalam Wasiat mempunyai hak mentadbir.
    (ii) Tidak perlukan jaminan untuk memperolehi probet. as-Salihin sebagai Wasi tidak perlu mencari penjamin ketika memohon probet.


  29. Bolehkah saya mengubah kandungan Wasiat saya dan bilakah boleh saya berbuat demikian?
    Anda boleh mengubah Wasiat anda pada bila-bila masa yang anda mahu. Islam membenarkan pewasiat membatalkan Wasiatnya ketika masih hidup.

  30. Bolehkah saya membuat wakaf di dalam Wasiat saya?
    Menurut undang-undang Islam, seseorang boleh membuat wakaf di dalam Wasiatnya tetapi wakaf tersebut tidak boleh dibuat untuk kepentingan waris-warisnya. Wakaf ini hanya boleh berkuatkuasa selepas kematian pewasiat. Sebelum pewasiat mati, dia boleh membatalkan wakafnya tetapi harta yang diwakafkan itu mestilah diberi kepada badan kebajikan yang lain.

  31. Berapa banyakkah harta saya boleh diwakafkan melalui Wasiat?
    Wakaf di dalam Wasiat hanya terhad kepada 1/3 daripada harta simati. Jika wakaf dibuat di dalam Wasiat melebihi 1/3, harta wakaf yang melebihi itu adalah tidak sah kecuali selepas kematian anda, waris-waris anda bersetuju mengenainya.



  32. Menulis Wasiat dengan peguam adalah lebih murah. Kenapa perlu saya menulis Wasiat dengan as-Salihin?
    Peguam tidak memberikan perkhidmatan ditempat yang anda kehendaki. Kebanyakkan peguam sudah sibuk menghadiri kes di mahkamah atau mempunyai banyak urusan undang-undang yang perlu disegerakan. Peguam mungkin tidak menjurus kepakaran secara khusus dalam penulisan Wasiat kerana ia bukanlah sumber pendapatan utama mereka serta jumlah pelanggan mereka yang membuat Wasiat adalah terhad. Mereka tidak menyediakan perkhidmatan menyimpan Wasiat. Akan tetapi, kami adalah pakar dalam penulisan Wasiat dan kami menyediakan anda perkhidmatan persendirian di tempat yang anda kehendaki/selesa tanpa gangguan samada di rumah atau di pejabat anda. Kami juga mempunyai penasihat undang-undang dan Lembaga Penasihat Syari’ah untuk membantu serta mengawal semua urusan Wasiat.

  33. Bukankah saya akan menjimatkan wang jika saya menyimpan Wasiat sendiri?
    Benar, anda akan menjimatkan wang jika anda menyimpan sendiri Wasiat anda. Tetapi anda mungkin menghilangkannya maka sia-sia sahaja anda membuat Wasiat jika Wasiat tersebut tidak dapat diperolehi selepas kematian anda.

  34. Bayaran Penyimpan Wasiat Profesional adalah sangat mahal malah lebih mahal daripada bayaran peti deposit keselamatan saya.
    Peti deposit keselamatan akan dibekukan selepas kematian. Ini akan menyukarkan keluarga anda untuk memperolehi dan mengetahui kandungan Wasiat kerana mereka mungkin tidak mengetahui kedudukan Peti Deposit Keselamatan tersebut (jika mereka mengetahui, mereka tetap memerlukan perintah mahkamah untuk membuka peti tersebut, ini memerlukan kos dan usaha yang banyak). Akan tetapi, Khidmat Penyimpan Wasiat Profesional kami hanyalah sebanyak RM 0.20 sehari dan Wasiat anda akan menjadi dokumen yang sangat bernilai dan nilai bertambah dengan Bayaran Simpanan Tahunan hanya dengan RM80.00 sahaja. Apabila Wasiat disimpan di as-Salihin, semua pewasiat akan menerima 3 kad simpanan Wasiat, sebuah Buku Senarai Harta Peribadi, Surat Peringatan Memperbaharui Tahunan dan akan mendapat Insurans Kemalangan Peribadi bernilai RM10,000 percuma dengan sekali bayaran pendaftaran sebanyak RM25.00.
    Dengan sedikit bayaran, kami memastikan hasrat anda akan ditunaikan menurut Wasiat anda kerana Wasiat anda bebas daripada kerosakan atau kemusnahan yang tidak disengajakan. Yang lebih penting, ia boleh diubah pada masa yang dikehendaki. Terpulanglah kepada anda untuk membuat keputusan.

  35. Adakah perkhidmatan Penyimpan Wasiat Profesional akan menyimpan Wasiat saya dengan baik?
    Ya, mereka akan menyimpannya dengan baik. Setelah anda meletakkan Wasiat dalam simpanan as-Salihin, ia akan dikendalikan dengan baik, Nombor rujukan dan kad simpanan Wasiat akan diberi sebagai kawalan untuk mendapatkannya semula.

  36. Kenapa saya tidak boleh membayar hanya satu yuran simpanan untuk Wasiat saya dan Wasiat isteri saya?
    Setiap individu akan mempunyai nombor penyimpanan. Oleh itu adalah mustahil untuk wasiat dua orang disimpan menggunakan satu nombor rujukan. Bolehkah suami dan isteri mempunyai sepasang kasut yang sama atau mempunyai nombor kad pengenalan yang sama? Ini adalah untuk kami mengawal supaya hanya pewasiat atau wasi yang dilantik selepas kematian pewasiat sahaja yang boleh mendapatkan Wasiat tersebut.



  37. Saya mempunyai peti deposit keselamatan/Saya akan menyimpannya sendiri/Saya akan menyimpan Wasiat di rumah.
    Masalah akan timbul bila seseorang meninggal dunia, semua asetnya termasuk peti deposit keselamatan akan dibekukan walaupun jika dibuat nama bersama. Jika begitu Wasiat tersebut tidak akan menjadi rahsia dan sulit lagi kerana apabila ia disimpan di dalam peti deposit keselamatan, pemegang akaun bersama akan boleh mendapatkan Wasiat tersebut.

    Menyimpan Wasiat di peti deposit keselamatan tidak menjamin Wasiat anda dilindungi daripada kerosakan dan ia boleh mengundang masalah kepada keluarga anda jika mereka mengetahui kandungannya maka ia tidak menjadi sulit lagi. Sebaliknya, kami akan menghantar surat peringatan kepada anda setiap tahun samada anda mahu menulis semula Wasiat anda atau mengemaskini Buku Senarai Harta Peribadi. Dinasihatkan bahawa sebarang perubahan undang-undang akan memberi kesan kepada Wasiat anda. Menyimpan Wasiat samalah seperti insurans melindungi harta dan benefisiari anda.

    Setelah lama menyimpan, anda mungkin akan terlupa di mana anda telah menyimpannya. Contohnya 5 tahun kemudian atau jika berlaku sesuatu, keluarga anda mungkin akan sukar untuk mengetahui dan mengingati di mana anda menyimpan Wasiat anda.

  38. Tidak perlukan penyimpanan seumur hidup.
    Ditakdirkan bahawa anda akan hidup lebih 10 tahun lagi dan setelah dibahagikan RM800.00 dengan 30 tahun, hanya 7 sen sahaja satu hari. Ia tidaklah mahal sangat dan wang yang digunakan untuk membayarnya adalah berbaloi.

    Anda boleh mencadangkan Simpanan Premier (PLC) kepada klien anda. Kelebihannya adalah mendapat potongan istimewa jika menulis semula Wasiat serta boleh membayar ansuran istimewa. Statistik kami menunjukkan bahawa 4%-5% pelanggan kami menulis semula Wasiat setiap bulan dan PLC memberi mereka potongan seumur hidup dengan satu bayaran yang rendah iaitu hanya RM1,200.


  39. Saya tidak mempunyai banyak harta untuk diwasiatkan.
    Walaupun sekarang anda tidak mempunyai banyak harta untuk diwasiatkan, menulis Wasiat adalah memenuhi aspek yang penting di dalam Islam iaitu mengikut Sunnah seperti apa yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar.

    Tambahan pula, beberapa tahun kemudian harta anda akan bertambah dan Wasiat yang kami sediakan adalah merangkumi harta akan datang tanpa perlu menulis semula Wasiat tersebut jika anda tidak mahu berbuat demikian. Disamping itu jika anda mempunyai anak-anak yang masih kecil, anda boleh melantik penjaga bagi harta mereka melalui Wasiat.

  40. Kawan saya seorang peguam memberitahu saya bahawa dia boleh menyimpan Wasiat saya di dalam simpanan di pejabatnya. Mengapa saya harus menghabiskan wang untuk menyimpan Wasiat saya di dalam simpanan as-Salihin?
    as-Salihin adalah sebuah Syarikat Pemegang Amanah yang berdaftar di bawah undang-undang dan ia adalah kekal. Semua Wasiat di dalam simpanannya diinsuranskan. Akan tetapi firma undang-undang akan terhenti atau ditutup apabila pemilik tunggal atau semua rakan kongsinya mati. Dalam situasi ini benefisiari anda tidak dijamin akan mendapat semula Wasiat anda tanpa kesukaran. Kenapa perlu mengambil risiko ini?

  41. Kerahsiaan Wasiat/Saya tidak percaya kepada Perancang Harta Islam (IEP).
    Semua IEP mestilah mematuhi kod etika syarikat dan mereka telah dilatih secara profesional untuk tidak memecahkan maklumat pelanggan kepada pihak ketiga yang mempunyai autoriti. Sama seperti hubungan peguam dan pelanggan dan juga doktor dan pesakit. Yang lebih penting, menulis Wasiat oleh IEP adalah mata pencarian IEP dan sudah pasti as-Salihin tidak mahu menjejaskan mata pencarian mereka. Orang yang mengetahui tentang kandungan Wasiat anda adalah IEP dan penasihat undang-undang syarikat. Jika maklumat dipecahkan kepada pihak ketiga yang tidak mempunyai autoriti, syarikat akan menamatkan kontrak IEP serta syarikat akan mengiklankan nama dan gambar mereka yang menyatakan bahawa kami tidak lagi berkerjasama dengan IEP tersebut serta anda boleh mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.
    Lagipun, Wasiat hanya sah selepas anda meninggal dunia. Oleh itu anda boleh menulis semula Wasiat anda.


  42. Sebagai ibu, bolehkah saya melantik penjaga bagi harta anak-anak saya?
    Dalam Islam, hanya bapa yang mempunyai hak untuk melantik penjaga bagi harta anak-anaknya.

  43. Apakah perbezaan di antara Amanah Hayat dan Amanah Wasiat?
    Amanah Wasiat ialah amanah yang dibuat di dalam Wasiat dan berkuatkuasa selepas kematian Pewasiat. Amanah yang dibuat di dalam Wasiat adalah tertakhluk kepada peraturan satu-pertiga dan waris tidak boleh mendapat manfaat daripada amanah tersebut tanpa persetujuan daripada waris-waris lain.

    Amanah Hayat ialah amanah yang dibuat oleh setlor untuk manfaat benefisiari dan berkuatkuasa serta merta apabila amanah dibuat. Harta di bawah Amanah Hayat tidak dikira sebagai sebahagian daripada harta setlor dan ia tidak akan dibekukan semasa setlor meninggal dunia. Oleh itu, perintah mahkamah untuk mentadbir harta tersebut tidak diperlukan kerana amanah tersebut berkuatkuasa serta merta berdasarkan syarat-syarat dan terma-terma di dalam Surat Ikatan Amanah.

  44. Adakah cadangan pindaan kepada Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) Akta 1984 mempunyai apa-apa kesan ke atas Deklarasi Harta Sepencarian?
    Cadangan pindaan tersebut antara lainnya memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah, sebelum membenarkan suami berpoligami, “untuk memerintahkan supaya apa-apa harta yang telah diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan itu atas usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana harta itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan”. Pihak yang terlibat masih perlu membuktikan bahawa harta tersebut telah diperolehi bersama.

    Sebaliknya, Deklarasi Harta Sepencarian yang kami sediakan, seperti yang telah diisytiharkan oleh pihak-pihak yang berkaitan, menyatakan bahawa harta tersebut adalah diperolehi bersama semasa perkahwinan. Bukti ini sudah mencukupi dan tidak perlu bukti lain untuk dibawa ke mahkamah. Oleh itu, cadangan pindaan tersebut tidak mempunyai apa-apa kesan ke atas Deklarasi Harta Sepencarian kami malah ianya patut digalakkan bagi mereka yang belum membuatnya untuk mengambil langkah
    awal.

© 2005 as-Salihin Trustee Berhad